Sunday, March 30, 2008

003 -APA ITU SALAF?

APA ITU SALAF?

Sesungguhnya kalimah (perkataan) salaf (سلف) telah dikenali sama ada dalam Bahasa Arab atau melalui pengertian syara.
[1] Perkataan salaf telah dikenal sejak sekian lama oleh masyarakat Arab antaranya melalui syair-syair Arab yang terkenal.

Salaf menurut bahasa (etimologi) ialah: “Orang-orang yang awal (تقدم) iaitu yang mula-mula atau (سبق) orang-orang yang terdahulu (yang telah berlalu).
[2] Dimaksudkan juga pendahulu bagi suatu generasi.[3] Atau:

من تقدمك من آبائك وذوي قرابيك الذين هم فوقك فى السن والفضل.
"Salaf: Sesiapa yang mendahului kamu seperti ibu bapa, kerabat yang lebih tua pada umur atau kedudukan".[4]

Antara yang paling benar (tepat dan rajih) pengertian salaf ialah:

“Orang-orang yang terawal (yang terdahulu) terutama dari para Nabi, para sahabat Nabi, para tabi’in dan mereka yang mengikut jejak (meniti manhaj) mereka-mereka yang telah lalu terutama para imam mujtahid yang empat”.
[5]

Yang dimaksudkan dengan salaf ialah: Sahabat, yang mengikut sahabat (tabi’in), yang mengikut tabi’ut at-tabi’in dan a’immatul Islam yang adil, yang disepakati oleh umat tentang keimaman mereka dalam agama, yang hebat peranan mereka pada menegakkan agama, orang-orang Islam menerima kata-kata mereka sama ada dari kalangan salaf atau khalaf, meredai dan menerima mereka. Seperti dua orang Syufiyan, Laith bin Sa’ad, Abdullah bin Mubarak, Ibrahim Nakhi, al-Bukhari, Muslim dan keseluruhan ashabus sunnan rahimahumullah. Dan tidak termasuk mereka yang tertuduh sebagai golongan ahli bid’ah dan menerima gelaran yang tidak diredai seperti Khawarij, Rawafidh, Mu’tazilah, Jabariyah dan semua firqah yang sesat. Maka mazhab Salaf ialah: Sesiapa yang berpegang kepada iktikad yang disandarkan kepada para Salaf as-Soleh.
[6]

Telah dinukil dari as-Safarini dari kitab “Al-Lawami’ اللوامع” dari Ibnu Rejab. Ia telah menentukan had zaman yang dinamakan zaman salaf, yang mana beliau berkata:

“Pada ketika ini, penentuan zaman salaf menurut kitab yang termuat kata-kata para a’immah as-Salaf yang menjadi contoh iaitu hanya sampai ke zaman as-Syafie, Ahmad, Ishak dan Abi Ubaid. Namun manusia telah diperingatkan tentang bid’ah selepas mereka kerana akan berlaku selepas mereka bid’ah yang amat banyak”.
[7]

Mereka yang ditunjukkan di atas adalah para salaf yang dinasabkan kebaikan dan digelar sebagai Ahli al-Hak. Diikuti (ditaati) athar mereka kerana mereka hidup dikurun yang terbaik sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam di beberapa hadis yang sahih.
-----------------------------------------------------------------------------

[1] . Lihat: Penjelasan Nasruddin Al-Albani dalam Majalah as-Solah
No. 9 Syaban 1414.
[2]. Lihat: معجم مقايس اللغة 3/95 Ibnu Faris. Lihat: Al-Mufradat Fi
Gharibil Quran, hlm. 244.
[3]. Lihat: القاموس المحيط Al-Fairuz Abadi.
[4]. Lihat: Lisan 9/159. Ibnu Manzur. 3/2069, Pengertian dinukil oleh
Ibn Mansur dari Ibnu Atsir dalam Gharibil Hadis. Lihat: المفسرون
للمغراوى 1/18. Lihat: القاموس المحيط Al-Fairuz Abadi.
[5] . Lihat: تحفة المريد على جوهر التوحيد hlm. 231. Ibrahim Baijuri.
[6] . Lihat: الغقائد السلفية بادلتها النقلية والعقلية (شرح الدرة السنية فى عقيدة اهل السنة
المرضية 1/11. Ahmad bin Hajar Ali Butami.
[7] . Lihat: لوامع الأنوار البهية 1/26.

002 - DEFINISI MANHAJ

DEFINISI MANHAJ

Manhaj (المنهج), nahaj (النهج) atau minhaaj (المنهاج) dari madah: نَهجا– يَنهج – نَهج yang semuanya mempunyai satu makna. Dari segi bahasa manhaj ialah:
[1]

اَلطَّرِيْقُ الْبَيِّنُ الْوَاضِحُ ، وَيُطْلَقُ عَلَى الطَّرِيْقِ الْمُسْتَقِيْمِ اَوِالسُّنَّةِ.

“Jalan yang jelas, terang dan dikatakan juga (mengikut) jalan yang lurus[2] atau mengikut sunnah”.

Kalimah manhaj/minhaj bermakna jalan yang terang atau mengikut sunnah. Ia disebut di dalam al-Quran sebagaimana firman Allah Azza wa-Jalla:

لِكُلٍّ جَعَلْنَا مِنْكُمْ شِرْعَةً وَمِنْهَاجًا

“Untuk tiap-tiap umat (antara kamu), Kami berikan aturan dan jalan yang terang (atau sunnah)”.[3]

Berkata Abu Ja’far, bahawa manhaj ialah: “Jalan yang terang atau jelas” (الوالبيان اضح).
[4] Dan apabila dikatakan (طريق نَهج) bererti “Jalan Yang Terang” atau (بين) “Jelas”.

Menurut Ibn Kathir rahimahullah manhaj ialah:

فَهُوَ الطَّرِيْقُ الْوَاضِحُ السَّهْلُ

“Maka manhaj ialah jalan yang terang dan mudah”.[5]

Manhaj juga dapat difahami menurut sebagaimana yang dikatakan oleh Ibn Abbas radiallahu ‘anhu yang diriwayatkan dari Mujahid, Ekrimah, Hasan al-Basri dan selain mereka:

قَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ : سَبِيْلاً اَوْ سُنَّةً
“Berkata Ibnu Abbas Radiallahu ‘anhu bahawa manhaj ialah: Jalan atau sunnah”.[6]

سُنَّةُ النَّبِي ، اَوْ الْبَيِّنُ الْوَاضِحُ

“Manhaj ialah: Sunnah Nabi. Atau yang terang dan yang jelas”. [7]

Manhaj atau minhaj dimaksudkan juga sebagai mazhab (aliran atau jalan). Walaupun mazhab sering digunakan untuk aliran fikah tetapi ia sering juga digunakan atau dimaksudkan dengan maksud yang sama dengan manhaj. Seperti disebut: “Manhaj as-Salaf as-Soleh atau Mazhab as-Salaf as-Soleh”.
-----------------------------------------------------------------------------


[1]. Lihat: Lisanul Arab 2/383. Abi Fadzil Jamaluddin Muhammad al-
Afriki al-Misri. Lihat: Kamus al-Muhit. 1/209. Fairus Abadi.
[2]. Lihat: منهج الاستدلال على مسائل الاعتقاد عند اهل السنة والجماعة1/19. Uthman bin Ali Hasan.
[3] . Al-Maidah, 5:48.
[4] . Lihat: At-Tabari, 4/609.
[5]. Lihat: Tafsir Ibn Kathir 2/26. Dan Fathul Qadir 2/48 As-Syaukani.
[6]. Lihat: Sahih Bukhari. 1/46 Fathul Bari (Kitab al-Iman). Diriwayatkan oleh Al-Lalakaii hlm. 66. At-Tabari 6/271. Lihat Ibn Kathir. 3/120. Lihat: Manhaj Ahli Sunnah wal-Jamaah, 1/50. Khalid bin Abdullatif.
[7]. Lihat: At-Tabari, 6/609.

Wednesday, March 26, 2008

001 - MANHAJ AS-SALAF

MANHAJ AS-SALAF

Manhaj salaf bukanlah suatu rekaan (dongengan) yang diada-adakan oleh pendahulu umat ini. Ia tertulis dalam al-Quran, hadis-hadis sahih dan di dalam syair -syair Arab. Manhaj Salaf adalah metodologi yang benar-benar dapat menyelamatkan akidah, ibadah dan akhlak umat Islam sejak zaman awal sahabat sehinggalah keakhir zaman. Kerana sesungguhnya manhaj salaf adalah manhaj yang dititi, dipegang dan digigit dengan gigi geraham oleh para sahabat, tabi’in, tabi’ut at-tabi’in serta mereka-mereka yang mengikut jalan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam. Manhaj ini adalah manhaj yang paling selamat. Oleh itu ia wajib dipelajari, diketahui, difahami, dibela (disokong) dan menjadi mazhab setiap orang-orang yang beriman kepada agama Islam.

Dengan memahami manhaj ini, seseorang dapat melaksanakan segala kewajipan yang disyariatkan dengan sempurna. Manhaj Salaf mengajar umat bagaimana meninggalkan segala larangan, mengamalkan segala suruhan, mengikut contoh tauladan serta memahami pemahaman sebaik-baik insan dan umat yang telah dilahirkan ke dunia. Hanya manhaj ini yang dapat menyelamatkan akidah, ibadah dan akhlak seseorang dari segala jenis bid’ah., khurafat, tahayul dan kesyirikan yang menyesatkan.

Tiada jalan dan cara yang paling selamat dan efisien untuk menyelamatkan umat, kecuali setelah mereka menyedari akan kebenaran dan selamatnya manhaj ini dan seterusnya menyandarkan pendisiplinan ilmu, akidah, ibadah dan akhlak mereka melalui manhaj yang telah dijamin oleh Allah Subhanahu wa-Ta’ala sebagai sebaik-baik manhaj. Ini telah dikhabarkan dalam firmanNya dan juga di dalam hadis-hadis Nabi-Nya sallallahu ‘alaihi wa-sallam.

Manhaj Salaf telah dipelihara oleh wahyu dengan terpeliharanya al-Quran dan hadis-hadis yang sahih. Telah diamalkan dan dijaga dengan rapi terutamanya oleh generasi sahabat yang telah diredai dan dimuliakan oleh Allah Azza wa-Jalla. Manhaj Salaf adalah warisan Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam kepada generasi yang termulia di kalangan umat manusia yang ada di dunia ini. Oleh yang demikian sewajarnya diingat bahawa setiap muslim perlu ada tiga dasar pada diri mereka agar menjadi Ahli Sunnah wal-Jamaah yang bermanhaj Salaf yang sebenar iaitu:

Pertama: Berpegang kepada kitab suci al-Quran sebagai Kitabullah yang berisi dalil-dalil qati’i dan hujjah-hujjah tauqifi.

Kedua: Berpegang teguh kepada al-Hadis yang sahih setelah al-Quran kerana ia adalah sunnah Rasulullah. Iaitu menyerah dan berpegang secara mutlak kepada nas-nas al-Quran dan as-Sunnah. Sama sekali tidak menolaknya. Tidak melaga-lagakan antara satu dengan yang lain. Tidak menyangkal dengan akal sebagaimana perbuatan Mu’tazilah, dengan perasaan sebagaimana Ahli Ahwa (Ahli Hawa Nafsu atau Ahli Bid’ah), dengan mimpi sebagaimana ahli sufi dan tarikat atau dengan ilham sebagaimana Ahli Falsafah. Dan tidak ada yang diutama dan didahulukan setelah adanya nas al-Quran dan as-Sunnah.

Ketiga: Berjalan (mengikut) atau bermanhaj Salaf as-Soleh dengan cara menyandarkan pemahamannya sama ada dalam persoalan akidah, ibadah, muamalah dan akhlak secara berdisiplin dan utuh. Dan semuanya ini diperolehi melalui bertalaqi (belajar dengan berguru, bukan semata-mata melalui buku atau mentala’ah kitab-kitab semata).
Sesiapa sahaja boleh mengaku sebagai Ahli Sunnah wal-Jamaah tetapi ia hanya benar-benar meniti jalan yang hak dan sempurna apabila berpegang kepada bahagian yang ketiga iaitu kembali kepada manhaj Salaf as-Soleh. Kerana manhaj ini selain dapat menyelamatkan iktiqad, amalan dan akhlak maka ia juga yang mampu menyatu- padukan umat dalam satu ikatan “Al-Jamaah”.

Manhaj Salaf akan menyelamatkan pengikutnya dari perpecahan yang berpunca berintima’ (menasabkan diri) kepada individu, kumpulan, golongan atau berbagai-bagi hizbi (kelompok perpecahan).