Tuesday, April 1, 2008

16 - SEBUTAN SALAF DAN MANHAJ SALAF

SEBUTAN SALAF DAN MANHAJ SALAF


Kalimah salaf berkali-kali disebut oleh para ulama muktabar sehingga tidak dapat dihitung dengan angka yang tepat lantaran terlalu sering dan banyaknya disebut. Berittiba’ kepada Salaf as-Soleh adalah syiar Ahli Sunnah wal-Jamaah dan sewajarnya mereka yang berittiba’ sentiasa bersabar menempuh ujian dan cemuhan kerana mereka sedang mengikuti atau berjalan di atas manhaj yang hak dan benar:


كَانَ مِنْ شِعَارِ اَهْلِ السُّنَّةِ اتِّبَاعُهُمْ السَّلَفَ الصَالِح ، وَتَرْكُهُمْ كُلَّ مَا هُوَ مُبْتَدِعٌ وَمُحْدَثٌ.

“Antara syiar Ahli Sunnah ialah mereka berittiba’ kepada Salaf as-Soleh, mereka meninggalkan apa saja yang dianggap bid’ah dan yang direkacipta (ciptaan yang baru dalam persoalan yang berkaitan dengan agama)”.[1]
Ini bermakna bahawa ciri-ciri Salafi ialah meninggalkan bid’ah dan mempertahankan sunnah. Tabah dalam mengikuti sunnah dan memeliharanya pada semua hal dan keadaan serta sentiasa komitmen berjalan mengikut manhaj Salaf as-Soleh.

Berkata Imam Al-Auza’i rahimahullah:


اِصْبِرْ نَفْسَكَ عَلَى السُّنَّةِ ، وَقِفْ حَيْثُ وَقَفَ الْقَوْمِ ، وَقُلْ بِمَا قَالُوْا ، وَكُفَّ عَمَّا كَفُّوْا عَنْهُ ، وَاسْلُكْ سَبِيْلَ سَلَفَكَ الصَّالِحِ ، فَاِنَّهُ يَسَعُكَ مَا وَسِعَهُمْ.

“Sabarkanlah jiwamu dalam mengikuti sunnah, berhentilah (dari melakukan sesuatu perbuatan) sebagaimana para Salaf berhenti (dari melakukannya). Berkatalah sesuai sebagaimana mereka katakan, berhentilah dari sesuatu yang mereka telah menghentikannya. Berjalanlah mengikut jalan (manhaj) salaf kamu yang soleh kerana sesungguhnya ia akan memberi kelapangan kepada kamu sebagaimana telah memberi kelapangan kepada mereka”.[2]

Penjelasan di atas menguatkan keyakinan bahawa salaf atau salafiyah ialah: Jika dikaitkan dengan waktu, zaman atau marhalah tarikh ia telah berlalu dengan kewafatan mereka. Tetapi jika dinasabkan kepada ilmu yang mereka tinggalkan, fahaman, sikap atau kepada ikutan (berittiba’) kepada manhaj mereka yang hak maka manhaj mereka akan berterusan sehingga ke Hari Kiamat.

Hakikat dan kenyataan ini dapat difahami dari hadis-hadis yang lalu dan hadis-hadis yang seterusnya sebagaimana Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam menjelaskan:


لاَتَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ اُمَّتِيْ ظَاهِرِيْنَ عَلَى الْحَقِّ ، لاَيَضُرُّهُمْ مَنْ خَذَلَهُمْ حَتَّى يَاْتِيَ اَمْرُ اللهِ وَهُمْ كَذَالِكَ.

“Akan sentiasa ada satu golongan (kelompok) dari umatku yang muncul terang-terangan di atas kebenaran, tidak membahayakan orang-orang yang bermusuhan kepada mereka sehingga tiba urusan Allah dan mereka dalam keadaan demikian”. [3]


لاَ تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ اُمَّتِيْ مَنْصُوْرِيْنَ عَلَى الْحَقِّ لاَ يَضُرُّهُمْ مَنْ خَالَفَهُمْ وَلاَ مَنْ حَذَلَهُمْ.

“Akan terus ada sekelompok dari umatku mendapat pertolongan atas yang hak. Tidak akan membahayakan mereka siapa sahaja yang menentang mereka dan merendahkan mereka”.

Di hadis yang lain Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam menegaskan bahawa akan ada sehingga Hari Kiamat orang-orang (orang-orang yang berpegang dengan manhaj salaf) yang menegakkan kebenaran (الحق), mempertahankan kebenaran dan berdiri (iltizam) di atas kebenaran walaupun dihina, dicela, dikeji dan ditimpakan dengan berbagai-bagai fitnah sebagaimana sabda baginda:


عَنْ مُعَاوِيَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُوْلُ : لاَ يَزَالُ مِنْ اُمَّتِيْ اُمَّةٌ قَائِمَةٌ بِاَمْرِ اللهِ ، لاَ يَضُرُّهُمْ مَنْ حَذَلَهُمْ ، وَلاَ مَنْ خَالَفَهُمْ حَتَّى يَاْتِيَ اَمْرُ اللهِ وَهُمْ عَلَى ذَلِكَ.

“Dari Muawiyah radiallahu ‘anhu berkata: Aku mendengar Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda: Akan sentiasa ada dari umatku ummah yang berdiri tegak di atas perintah Allah, tidak menjejaskan mereka orang-orang yang menghinakan mereka, juga orang yang menentang mereka sehingga tiba urusan Allah dan mereka tetap dalam keadaan demikian (tidak berubah)”.[4]

Berkata Imam Bukhari rahimahullah:

“Mereka (yang dimaksudkan dalam hadis ini) ialah Ahli Hadis”.

Ini dikuatkan lagi oleh Imam Ahmad bin Hambal rahimahullah yang menjelaskan:

“Jika yang dimaksudkan (oleh hadis di atas) bukan Ahli Hadis maka aku tidak tahu siapa lagi mereka”.

Hadis-hadis di atas ini menggambarkan daya tahan para salaf mempertahankan kebenaran, prinsip, keunggulan iman, ilmu dan keutamaan manhaj mereka walaupun manusia dalam keadaan fasad, kerosakan, dipenuhi bid’ah, khurafat, syirik dan menentang mereka yang mempertahan dan memperjuangkan manhaj Salaf as-Soleh. Semuanya ini telah digambarkan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam dalam hadis ghuraba’ (asing). Baginda bersabda:


عَنِ بْنِ مَسْعُوْدٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : بَدَاَ اْلاِسْلاَمُ غَرِيْبًا ، وَسَيَعُوْدُ غَرِيْبًا كَمَا بَدَا ، فَطُوْبَىللْغُرَبَاء ، قِيْلَ : مَنْ هُمْ يَارَسُوْلَ اللهِ ؟ قَالَ : اَلَّذِيْنَ يَصْلُحُوْنَ اِذَا فَسَدَ النَّاسُ . وَفَى لَفْظٍ آخَرَ : اَلنُّزَّاعُ مِنَ الْقَبَائِلِ . وَفَى لَفْظٍ آخَرُ : اُنَاسٌ صَالِحُوْنَ قَلِيْلٌ فِى اُنَاسٍ سُوْءٍ كَثِيْرٍ ، مَنْ يَعْصِيْهِمْ اَكْثَرُ مِمَّنْ يُطِيْعُهُمْ.

“Dari Ibnu Masoud radiallahu ‘anhu berkata: Telah bersabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam: Islam itu bermula dengan aneh, akan berulang dalam keadaan aneh sebagaimana ia bermula. Maka berjayalah orang-orang yang aneh. Baginda ditanya, siapakah mereka wahai Rasulullah? Baginda bersabda: Orang-orang yang membetulkan manusia apabila manusia telah fasad (rosak).[5]

Dilafaz yang lain:

“Orang-orang yang memperbaiki pertelingkahan golongan yang bertelagah. [6]

Dilafaz yang lain:

“Manusia-manusia yang soleh yang sedikit, di tengah-tengah manusia-manusia yang keji yang banyak. Orang-orang yang bermaksiat (menentang) lebih banyak dari yang mentaati mereka”.[7]



------------------------------------------------------------



[1] . Lihat: الْحُجَّةُ فِى بَيَانِ الْمَحَجَّة 1/364. Al-Asbahani.
[2] . Riwayat Al-Lalikaii, Baihaqi dan al-Ajurri dengan sanad sahih. Lihat: Al-Qutubiyah. Hlm. 2-3. Abu Ibrahim bin Sultan al-Adnani. Lihat: Ilmu Usul al-bid’. Hlm. 137. Ali Hasan Abdul Hamid al-Athari.
[3] . H/R Bukhari, 6/632. Muslim, 3/1523.
[4] . Dikeluarkan oleh Syaikhain Bukhari dan Muslim.
[5]. Hadis Sahih. Lihat dalam: اربعى الدعوة والدعاة No. 10.
[6]. H/R Al-Ajuri dalam Al-Ghuraba’. No. 2. Al-Bagawi dalam Syarah
as-Sunnah No. 64. Ibn Majah 3988. Darimi 2/220.
[7]. H/R Ahmad. 2/177 dan 222. Ibnu Mubarak 775. Al-Ajuri dalam Al-
Ghuraba’. No. 6. Dari Abdullah bin Amru bin al
-‘As.

No comments: