Tuesday, April 1, 2008

22 - MANHAJ RABBANI

MANHAJ RABBANI

Manhaj Salaf as-Soleh adalah manhaj Rabbani. Ini amat jelas kerana para Salaf as-Soleh sentiasa merujuk dan berpegang kepada al-Quran dan hadis-hadis sahih yang berupa wahyu dari Rabb pencipta sekalian alam. Antara bukti yang jelas ialah para Salaf as-Soleh apabila berikhtilaf atau berselisih agar tidak berpecah-belah maka mereka segera kembali kepada al-Quran dan as-Sunnah. Amalan ini memenuhi tuntutan al-Quran sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah di dalam firmanNya:

وَمَاخْتَلَفْتُمْ فِيْهِ مِنْ شَيْءٍ فَحُكْمُهُ اِلَى اللهِ

“Tentang sesuatu apapun kamu berselisih maka putusannya (terserah) kepada Allah”.[1]

Setiap orang beriman yang sedar dan berilmu, ia akan sentiasa meminta kepada Allah Ta’ala agar menjadi golongan salafi. Ini dilakukan juga secara tidak langsung setiap kali bersolat kerana setiap insan yang bersolat sentiasa berdoa (meminta) agar ditunjukki jalan yang hak, atau صراط المستقيم “jalan yang lurus” iaitu jalan, mazhab atau lebih dikenali sebagai manhaj Salaf as-Soleh sebagaimana firman Allah:

اِهْدِنَاالصِّرَاطَ الْمُسْتَقَيْمَ صِرَاطَ الَّذِيْنَ اَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ

“Tunjukkilah kami jalan yang lurus iaitu jalan orang-orang yang telah Engkau anugerahkan nikmat kepada mereka”.[2]

Maksud: “Jalan orang-orang yang telah Engkau anugerahkan nikmat” ialah jalan (manhaj) para syuhada, siddiqin dan solehin yang terhindar dari jalan-jalan yang disesatkan oleh syaitan. Hal ini telah dijelaskan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:

خَطَّ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَطًّا مُسْتَقِيْمًا ، وَخَطَّ خُطُوْطًا عَنِ الْيَمِيْنِ وَعَنِ الشِّمَالِ ثُمَّ تَلاَ قَوْلَ اللهِ (وَاَنَّ هَذَا صَرَاطِيْ مُسْتَقِيْمًا) ثُمَّ وَضَعَ يَدَهُ عَلَى الْخَطِّ اْلأَوْسَطِ الْمُسْتَقِيْمِ وَقَالَ : هَذَا سَبِيْلِ اللهِ ، وَهَذِهِ سُبُلٌ عَلَى كُلِّ سَبِيْلٍ مِنْهَا شَيْطَانٌ يَدْعُوْ اِلَيْهِ.

“Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam menggaris garisan lurus dengan tangannya lalu menggaris garis-garis di sebelah kanan dan kiri kemudian membaca ayat: (Inilah jalanKu yang lurus)[3] kemudian meletakkan tangannya di atas jalan yang lurus dan bersabda: Inilah jalan Allah. Dan yang ini adalah jalan-jalan, tiada satu jalanpun melainkan di atasnya ada syaitan yang menyeru kepadanya”.[4]

Sedarkah kita bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam hanya menggariskan satu garisan yang diwajibkan kita mengikutinya. Itulah satu-satunya jalan yang wajib kita titi sehingga tidak boleh menoleh ke kiri atau ke kanan. Titian tersebut dijelaskan oleh para ulama tafsir sebagi jalan, mazhab atau manhaj para sahabat yang menjadi salaf kita sekalian. Ingatlah, pada ayat yang juga merangkumi hadis Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam di atas, terdapat perintah Allah yang memerintahkan agar kita hanya mengikuti satu jalan yang lurus iaitu masuk ke dalam golongan (manhaj) siddiqin kerana para salaf terutamanya para sahabat keseluruhannya adalah golongan orang-orang yang siddiqin! Allah memerintahkan di dalam firmanNya:

وَكُنُوْا مَعَ الصَادِقِيْنَ

“Dan hendaklah kamu berserta (menjadi) orang-orang yang benar (siddiq)”.[5]

Yang termasuk dalam golongan syuhada, solehin dan siddiqin ini terutamanya ialah para sahabat yang menjadi salaf kita dalam menempuh jalan yang lurus. Dengan ini menurut Ibn Taimiyah, bermanhaj Salaf adalah wajib kerana telah diwajibkan oleh Allah dan diisyaratkan juga oleh Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam di dalam sabda baginda:

"Yang sepertiku (yang seperti manhaj baginda) dan para sahabatku (manhaj para sahabat baginda)".

Ibn Taimiyah juga menjelaskan:


لاَ عَيْبَ عَلَى مَنْ اَظْهَرَ مَذْهَبَ السَّلَفِ ، وَانْتَسَبَ اِلَيْهِ ، وَاعْتَزَى اِلَيْهِ ، بَلْ يَجِبُ قُبُوْل ذَلِكَ مِنْهُ بِاْلاِتِّفَاقِ ، فَاِنَّ مَذْهَبَ السَّلَفِ لاَيَكُوْنُ اِلاَّحَقًّا

"Tidak akan menjadi aib (kekurangan) bagi seseorang mengakui sebagai bermazhab (bermanhaj) salaf, menasabkan dirinya kepada salaf dan berbangga dengan salaf. Malah wajib menerima mazhab (manhaj) salaf sebagaimana yang telah disepakati. Sesungguhnya mahzab salaf tidak lain hanyalah mazhab yang sebenarnya (manhaj yang hak)".[6]

Ibnu Hajar al-Qatari rahimahullah pula berkata:


فَالْمُرَادُ بِمَذْهَبِ السَّلَفِ : مَاكَانَ عَلَيْهِ الصَّحَابَةُ الْكِرَامُ رِضْوَانُ اللهِ عَلَيْهِمْ ، وَالتَّابِعُوْنَ لَهُمْ بِاِحْسَانٍ اِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ وَاَتْبَاعُهُمْ.

"Apa yang dimaksudkan sebagai mazhab (manhaj) salaf ialah sebagaimana yang telah diikuti oleh para sahabat yang mulia, yang mana mereka sekalian telah diredai oleh Allah. Begitu juga para tabi’in yang mengikuti mereka dengan baik yang mengikuti mereka sekalian sehinggalah ke Hari ad-Din".[7]

Mahmud Muhammad Khufaji telah menjelaskan tentang penentuan manhaj Salaf as-Soleh dan siapa dia yang digelar salafi:

وَلَيْسَ هَذَا التَّحْدِيْد الزَّمَنِيْ كَافِيًا فِى ذَلِكَ ، بَلْ لاَبُدَّ اَنْ يُضَافَ اِلَى هَذَا السَّبَق الزَّمَنِي مُوَافَقَة الرَّاْي لِلْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ ، نَصًّا وَروْحًا ، فَمَنْ خَالَفَ رَاْيُهُ الْكِتَابَ وَالسُّنَّة فَلَيْسَ بِسَلَفِى ، وَاِنْ عَاشَ بَيْنَ اَظْهُرِ الصَّحَابَةِ وَالتَّابِعِيْ التَّابِعِيْنَ.

"Bukanlah penentuan zaman sudah memadai dalam perkara ini (menentukan seseorang itu salafi) tetapi di samping penentuan zaman (para sahabat) yang berlalu zamannya maka perlulah ada kesepakatan pandangan mereka dengan al-Kitab dan as-Sunnah jika tidak maka dia tidak boleh dinamakan salafi sekalipun ia hidup di tengah-tengah para sahabat, tabi’in dan tabi’ut at-tabi’in".[8]

Nasruddin al-Albani rahimahullah berkata:

“Manhaj Salaf adalah ajaran yang suci dan bersih dari segala kesan tradisi (jahiliyah pent.) masa lalu dan bersih dari peninggalan-peninggalan berbagai-bagai fahaman. Segala kesempurnaan dan kesyumulannya berdasarkan nas-nas al-Quran dan as-Sunnah”.
[9]
-----------------------------------------------------------

[1] . Asy-Syura, 42:10.
[2]. Al-Fatihah, 1:6-7.
[3] . Al-An’am, 153.
[4] . H/R Nasaii, Darimi. Al-Albani mengatakan: Sanadnya Hasan.
[5] . At-Taubah, 9:119.
[6]. Lihat: مجموعة الفتاوى Jld. 4. Hlm. 149. Ibn Taimiyah.
[7] . Lihat: العقائد السلفية Ibnu Hajar al-Qatari.
[8]. Lihat: العقيدة الاسلامية بين السلفية والمعتزلة تحليل ونقد Juz. 1/20-21.
Mahmud al-Khufaji.
[9] . Limaza Khartu al-Manhaj as-Salaf. Hlm.34.

No comments: