Tuesday, April 1, 2008

26 - PENGERTIAN SUNNAH

PENGERTIAN SUNNAH

1. Menurut istilah, kalimah sunnah ialah berasal dari: “Sanna - سَنَّ”.[1] Sunnah menurut bahasa ialah: At-Tariqah (الطريقة) “Jalan atau cara” [2]
Disebut juga سُنُنه : نَهجه - سُننه – سِننه iaitu manhajnya.[3] Atau sunnah bermaksud sirah (السيرة) "Sirah".[4]
Disebut dalam kamus “Lisanul Arab” sebagai berikut:


اَلسُّنَّةُ هِيَ الطَّرِيْقَهُ ، مَحْمُوْدَةٌ كَانَتْ اَمْ مَذْمُوْمَةٌ.



“As-Sunnah: Jalan, sama ada yang terpuji (baik) atau yang keji (buruk)”.[5]

2. Sunnah menurut syara:

"Apa yang diambil (diterima, dinukil, dipindah dan diriwayatkan) dari Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam dan para sahabat baginda tentang akidah dan amal". [6] Atau: "Cara (jalan) yang dicontohkan oleh Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam yang dibina (diambil) dari kitab Allah Ta'ala (al-Quran), sunnah RasulNya dan jalan yang ditempuh oleh para sahabat sekalian yang telah diijmakkan oleh mereka".[7]

Berkata Ibn Taimiyah rahimahullah:


اَلسُّنَّةُ هَيَ مَا قَامَ الدَّلِيْلُ الشَّرْعِيّ عَلَيْهِ

“As-Sunnah ialah: Apa yang telah ditegakkan dalil syari di atasnya”.[8]

3. Menurut ulama usuluddin (akidah):
“Sunnah ialah hidayah (petunjuk) yang telah ditunjuk ajar oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam dan para sahabat baginda, sama ada yang berupa ilmu, iktiqad (kepercayaan), perkataan atau perbuatan yang wajib kita ikuti. Diberi pahala orang yang mengikutinya dan berdosa orang yang menentangnya”.[9]

4. Sunnah secara khusus dimaksudkan apa dan siapa sahaja yang bertentangan dengan bid’ah dan Ahli Bid’ah. Seperti Syiah, Khawarij, Jahmiyah, Mu’tazilah, Murjiah, Asya’irah dan yang seiring dengan mereka dari kalangan Ahli Bid’ah. Mereka sama sekali tidak termasuk dalam kalangan Ahli Sunnah.

5. Sunnah secara umum pula bermaksud: Mengikut (para pengikut) athar Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam batin dan zahir. Mengikut (pengikut) jalan orang-orang yang mula-mula dan awal-awal dari kalangan Muhajirin dan Ansar. Pengikut wasiat Rasulullah yang mana baginda bersabda:

“Berpeganglah kamu sekalian kepada sunnahku dan sunnah Khalifah ar-Rasyidin yang mendapat petunjuk selepasku, pegang dan gigitlah dengan gigi geraham, berjaga-jagalah kamu dari benda-benda yang baru maka sesungguhnya setiap yang baru itu bid’ah dan setiap yang bid’ah itu sesat”.

Dengan maksud umum dari hadis di atas ini, bermakna bahawa al-Quran, hadis Nabi, athar-athar salaf termasuk apa yang dinamakan sunnah.

6. Yang paling penting dan utama ialah pengertian sunnah mengikut Salaf as-Soleh. Ia dimaksudkan:


هِيَ مَاكَانَ عَلَيْهِ النَّبِيِّ صَلَّىاللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَاَصْحَابهُ اِعْتِقَادًا وَاقْتِصَادًا ، قَوْلاً ، وَعَمَلاً.

“Sunnah ialah apa yang seperti Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam dan para sahabat baginda, sama ada iktiqad (akidah), iktisad, ucapan dan perbuatan (amalan)”.[10]

Ibnu Taimiyah rahimahullah juga berkata:

“Lafaz sunnah, dimaksudkan darinya ialah sesiapa yang telah menthabitkan (menetapkan) kekhalifahan tiga Khalifah, termasuk dalam perkara tersebut ialah semua golongan kecuali ar-Rafidhah”.[11]

Berkata Imam Ahmad bin Hambal rahimahullah:


اُصُولُ السُّنَة عِنْدَنَا : اَلتَّمَسُّكُ بِمَا كَانَ عَلَيْهِ اَصْحَابُ رَسُوْل اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ . ثُمَّ ذَكَرَ جُمْلَة عَقَائِدَ السَّلَف.

“Asas Sunnah menurut kami: Berpegang seperti mana yang dipegang oleh para sahabat Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam. Kemudian beliau menyebut sejumlah pegangan-pegangan Salaf”.[12]

Berkata Imam Syafie rahimahullah:


اَلْقَوْلُ فِى السُّنَّةِ الَّتِيْ اَنّا عَلَيْهَا ، وَرَاَيْتُ اَصْحَابَنَا عَلَيْهَا اَهْلَ الْحَدَيْثِ الَّذِيْنَ رَاَيْتهُمْ ، مِثْل سُفْيَان ، وَمَالِك وَعَيْرهُمَا : اَلاِقْرَارُ بِشَهَادَةِ اَنْ لاَ اِلَهَ اِلاَّ الله ، وَاَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ اللهِ ، وَاَنَّ اللهَ عَلَىعَرْشِهِ وَاَنَّ اللهَ يَنْزِلُ اِلَىالسَّمَآء الدُّنْيَاكَيْفَ يَشَآء

“Perkataan sunnah yang kami di atasnya dan juga aku lihat para sahabat kami di atasnya ialah ahli hadis yang mana kami telah temui mereka dan saya ambil hadis dari mereka. Seperti Sufyan, Malik dan selain keduanya yang mana mereka berikrar dengan persaksian: Tiada tuhan yang wajib diibadahi kecuali Allah dan sesungguhnya bahawa Muhammad Rasulullah. Berikrar bahawa Allah bersemayam di atas arasyNya dan Allah turun ke langit dunia sebagaimana yang Ia kehendakinya”.[13]


-----------------------------------------------------------------



[1] . Lihat: معجم مقاييس اللغة 3/60.
[2]. Lihat: لسان العرب - مادة (سنن) 13/226.
[3] . Ibid.
[4]. Lihat: (1). مختار الصحاح Hlm. 133. ar-Razi.
(2). Inilah takrif yang diberikan oleh Ibn Athir dalam النهاية فى غريب الحديث قى مادة : (سنن) Jld. 2. Hlm. 409.
[5]. Lihat: لسان العرب - مادة (سنن)
[6]. Lihat: لمعة الاعتقاد الى سبيل الرشاد Hlm. 40. Al-Uthaimin.
[7]. Lihat: اهل السنة والجماعة ومنهج الاشاعرة فى توحيد الله تعالى Juz. 1/21.
Khalid Abdul Latif.
[8] . Lihat: مجموع الفتاوى 12/317. Ibnu Taimiyah.
[9] . Lihat: مباحث فى عقيدة اهل السنةhlm. 13. Dr. Nasir bin Abdulkarim
al-‘Aql.
[10] . Lihat: جامع العلوم والحكم Hlm. 230. Abi Faraj Abdulrrahman ibnu
Syahibuddin bin Ahmad bin Rejab al-Hambali al-Bagdadi.
Lihat: مجموع الفتاوى 19/306. Ibnu Taimiyah.
[11] . Lihat: منهاج السنة النبوية 2/221. Ibnu Taimiyah.
[12] . Lihat: شرح اصول اعتقاد اهل السنة Hlm. 1/156 Al-Lalikaii.
[13] . Lihat: اجتماع الجيوش الاسلامية على غزو الُمعطلة والجهمية Hlm 59. Ibnu
Qaiyim al-Jauziyah. Darul Ma’rifah.

No comments: