Tuesday, April 1, 2008

18 - SIAPA SALAFI?

SIAPA SALAFI?

Setelah kita menyedari bahawa Allah Ta’ala dan NabiNya Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam telah mengkhabarkan, malah menetapkan bahawa para salaf terutamanya mereka yang terdiri dari para sahabat, tabi’in dan para tabi’i at-tabi’in adalah merupakan umat yang termulia kerana mereka semua berada dikurun yang terbaik. Maka sewajarnya kita semua kembali kepada manhaj mereka (manhaj salaf) yang selamat lagi terjamin. Kerana hanya layak dikatakan seseorang itu salafi setelah ia faham dan berittiba’ atau berada di atas manhaj (mazhab) Salaf as-Soleh.

Al-Hafiz Az-Zahabi rahimahullah berkata: Abu Bakar Abdurrahman as-Sarkhasi meriwayatkan dari Abil Fityan ar-Rawasi bahawa:

“As-Salafi adalah orang-orang yang berada di atas mazhab (manhaj) salaf”.
[1]
As-San’ani rahimahullah berkata:

“Salafi adalah penyandaran (penisbatan) kepada salaf dan menganut manhaj (mazhab) mereka”.
[2]

Syeikh Nasruddin al-Albani rahimahullah apabila ditanya siapakah hakikat Salafiyah? Beliau menjawab:

“Apabila kamu membincangkan lafaz salaf maka yang kami maksudkan ialah para sahabat Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam, kemudian para tabi’in dan kemudian para tabi’ut at-tabi’in. Dan orang yang hidup pada tiga generasi itulah yang disebut sebagai salaf”.
[3]

Dengan ini dikatakan salafi sesiapa sahaja yang mengikut manhaj Salaf as-Soleh, atau dia dinamakan salafi (سلفي) jamaknya Salafiyun (سلفيون) atau Salafiyin (سلفين) berdasarkan manhaj yang diikutinya. Namun laqab (gelaran) ini bukanlah seruan untuk ta’sub (fanatik) kepada individu-individu tertentu dari kalangan mereka kecuali hanya kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam.
[4]
Manhaj salaf adalah manhaj orang-orang Salafi yang berpegang kepada al-Kitab dan as-Sunnah serta meninggalkan bid’ah. Setiap salafi yang benar-benar faham dan kenal akan manhajnya, dia tidak akan terpengaruh dengan bid’ah, aktiviti bid’ah dan ahli bid’ah walaupun ahli bid’ah tersebut kelihatan hebat, berkarisma, gayanya seperti ulama yang memiliki berbagai-bagai ilmu dan berlagak seperti seorang tokoh.

Sebenarnya Allah membiarkan para ahli bid’ah sesat berdasarkan bid’ahnya yang mereka balut dengan nama agama, ilmu dan karisma berpidato. Allah berfirman tentang penipuan mereka:

وَاَضَلَّهُ اللهُ عَلَى عِلْمٍ.

“Dan Allah membiarkan dia sesat atas ilmuNya”.[5]

“Maksud dia sesat berdasarkan ilmuNya iaitu: Ilmu (bid’ah) yang telah disesatkan oleh Allah”.
[6]

Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam telah berwasiat kepada umatnya agar berpegang kepada al-Quran dan as-Sunnah agar tidak sesat, tidak syirik atau tidak berlaku bid’ah. Baginda bersabda:

تَرَكْتُ فِيْكُمْ شَيْئَيْنِ لَنْ تَضِلُّوْا بَعْدَهُمَا كِتَابَ اللهِ وَسُنَّتِيْ

“Aku tinggalkan kepada kamu sekalian dua perkara yang sama sekali tidak akan sesat (selepas bepegang) kepadanya iaitu: Kitab Allah (al-Quran) dan sunnahku (al-Hadis yang sahih)”.[7]

Dalam hadis yang lain Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam berwasiat agar (berittiba’) mengikuti manhaj salaf. Baginda melarang bertaqlid buta dengan manhajnya ahli bid’ah. Semasa berwasiat, kesungguhan tergambar di wajah baginda sehingga merubah suasana, menggegarkan hati dan mengalirkan air mata para sahabat. Ini menunjukkan peri-pentingnya kembali kepada sunnah yang menjadi dasar manhaj salaf yang diwasiatkan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:

اُوْصِيْكُمْ بِتَقْوَى اللهِ عَزَّ وَجَلَّ ، وَالسَّمْعِ وَالطَّاعَةِ ، وَاِنْ وَلَّى عَلَيْكُمْ عَبْدٌ حَبَشِيٌّ ، وَاِنَّهُ مَنْ يَعِشْ مِنْكُمْ مِنْ بَعْدِيْ فَسَيَرَى اخْتِلاَفًا كَثِيْرًا ، فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِى ، وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِيْنَ الْمَهْدِيِّيْنَ مِنْ بَعْدِيْ ، تَمَسَّكُوْا بِهَا ، وَعَضُّوْا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ ، وَاِيَّاكُمْ وَمُحْدَثَاتِ الاُمُوْرِ، فَاِنَّ كُلَّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ ، وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ ، (وَفَى رِوَايَةٍ : وَكُلَّ ضَلاَلَةٍ فِى النَّارِ).

"Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam telah memberi peringatan kepada kami sehingga membuat hati kami bergetar dan air mata berlinangan. Kami berkata: Wahai Rasulullah, seakan-akan ini wasiat perpisahan maka berwasiatlah kepada kami! Baginda bersabda: Aku wasiatkan kepada kamu agar tetap bertakwa kepada Allah, sentiasa mendengar dan taat walaupun yang memimpin adalah seorang hamba Habsyi. Sesungguhnya sesiapa yang hidup antara kamu selepasku akan melihat ikhtilaf yang banyak maka hendaklah kamu mengikuti sunnahku dan sunnah Khulafa ar-Rasyidin yang mendapat petunjuk. Peganglah ia dan gigitlah dengan gigi geraham. Aku peringatkan kamu tentang benda-benda yang baru kerana setiap yang baru itu bid'ah dan setiap yang bid'ah itu sesat. (Dan dalam riwayat: Setiap yang sesat di neraka".[8]

Antara contoh seorang ulama salafi yang terbilang ialah penamaan (jolokan) yang diberikan oleh al-Hafiz az-Zahabi rahimahullah terhadap Imam Daruqutni rahimahullah. Beliau berkata:

“Orang ini (Daruqutni) tidak pernah melibatkan dari dalam ilmu kalam dan perdebatan selama-lamanya, tidak pernah mendalaminya walaupun dia seorang Salafi”.
[9]

-------------------------------------------------------------------------------


[1] . Lihat: Syi’ar A’lam Nubala. 6/21.
[2] . Lihat: Al-Ansab 3/273.
[3] . Lihat: Al-Hawi 2/226.
[4] . Lihat: Fatawa. 3/346. Ibnu Taimiyah.
[5] . Al-Jasiyah. 23.
[6] . Lihat: اضواء على كتب السلف فى العقيدة Dr. Rabin bin Hadi Umair al-
Madkhali.
[7] . Lihat: Hadis disahihkan oleh al-Albani dalam Al-Jami’.
[8]. H/R Ahmad 4/126-127. Abu Daud 5/13. Turmizi dalam syarah Tuhfatul Ahwazi 7/438. Ibn Majah 1/15 dalam Muqadimah. Al-Hakim dalam Kitabul Ilmi 1/95-97. Disahihkan oleh Syeikh al-Albani dalam Silsilah As-Sahihah 2/647.
[9]. Syi’ar A’lam Nubala 16/457.

No comments: