Tuesday, April 1, 2008

08 - WAJIB BERITTIBA’ KEPADA MANHAJ SALAF

WAJIB BERITTIBA’ KEPADA MANHAJ SALAF

Wajib berittiba’ kepada manhaj salaf terutamanya dari kalangan para sahabat kerana mereka golongan yang sangat berwibawa. Terkenal dengan kehebatan sahsiah, kebaikan budi-pekerti, kemuliaan akhlak dan Allah menganugerahkan mereka dengan kesempurnaan iman yang tidak dapat ditandingi oleh sekalian manusia.

Mereka telah berjaya memperjuangkan syariat, menghidupkan, mempertahankan dan menjaganya dari dicabuli oleh bid’ah atau kerosakan hawa nafsu. Mereka mengetahui sebab-sebab turunnya wahyu dan melaksanakan semua dalil-dalil mengikut kenyataan. Ayat-ayat turun pada asalnya tertuju kepada mereka sebelum ditujukan kepada orang-orang lain yang lahir kemudian sesudah mereka. Mereka asas (untuk merujuk) kefasihan (kesahihan Bahasa Arab) dan penjelasannya kerana wahyu turun menggunakan bahasa (lisan) mereka. Rasulullah secara langsung terus menjelaskan segala masalah atau kemusykilan yang menimpa mereka. Allah Azza wa-Jalla berkali-kali memuji di dalam firmanNya dan merahmati mereka serta orang-orang yang berittiba’ (mengikut jalan) manhaj mereka. Ditinggikan darjat sesiapa yang mengikut mereka lantaran ketinggian darjat mereka
[1]. Dan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:

عَنْ اَبِيْ سَعِيْدِ الْخُدْرِيِّ رَضِيَ اللهَ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : لاَ تَسُبُّوْا اَصْحَابِيْ ، فَلَوْ اَنَّ اَحَدكُمْ اَنْفَقَ مِثْلَ اُحُدٍ ذَهَبًا مَا بَلَغَ مُدَّ اَحَدِهِمْ وَلاَ نَصِيْفَهُ.

“Janganlah kamu mencerca para sahabat, seandainya salah seorang dari kamu berinfaq sebesar gunung Uhud, tidaklah ia mencapai ganjarannya satu mud (ukuran gandum sebanyak dua telapak tangan) makanan yang disedekahkan oleh salah seorang dari mereka dan bahkan tidak pula mencapai setengah mudnya”.[2]

Sebagaimana yang telah dijelaskan, manhaj bermakna “Jalan” atau صراط maka jalan yang wajib diikuti oleh setiap orang beriman ialah yang telah ditunjuk dan disediakan oleh Allah dan RasulNya agar kita tidak tergelincir dari mengikutinya. Itulah yang diperintahkan oleh al-Quran dan as-Sunnah:

وَاَنَّ هَذَا صِرَاطِيْ مُسْتَقِيْمًا فَاتَّبِعُوْهُ وَلاَ تَتَّبِعُوْا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَنْ سَبِيْلِهِ ذَلِكُمْ وَصَّاكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُوْنَ.

“Dan sesungguhnya inilah jalan Ku yang lurus maka ikutilah dia dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain) kerana jalan-jalan tersebut mencerai-beraikan kamu dari jalannya”.[3]

Maksud “Jalan Ku yang lurus” ialah: “Al-Quran, Islam dan fitrah yang Allah fitrahkan kepada manusia”. Dan maksud: “Janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain)” ialah: “Hawa nafsu, perpecahan, bid’ah dan setiap yang baru yang diada-adakan”. Mujahid pula menafsirkan sebagai: “Bid’ah, syubahat-syubahat dan segala kesesatan”.
[4] Di dalam sebuah hadis, setelah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam membacakan ayat tersebut lalu baginda membuat garisan:

وَهُوَ يَمُرُّ بَاَصْبَعِهِ عَلَى الْخَطِّ الْمُسْتَقِيْمِ هَذَا صِرَاطُ اللهِ ثُمَّ اَشَارَ اِلَى الْخُطُوْطِ الْقَصِيْرَةِ مِنْ حَوْلِهِ فَقَالَ : هَذِهِ طُرُقٌ وَعَلَى رَاْسِ كُلِّ طَرِيْقٍ مِنْهَاشَيْطَانٌ يَدْعُوْ النَّاسَ اِلَيْهِ.
“Baginda membuat satu garis lurus dengan tangannya lalu baginda bersabda: Ini jalan Allah, kemudian menunjukkan ke beberapa garisan pendek di sekitar garisan tersebut maka baginda bersabda: Inilah jalan-jalan yang di setiap atas jalan tersebut terdapat syaitan yang mengajak manusia kepadanya (kepada syaitan)”.

Adapun garisan lurus yang digariskan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam ialah jalan yang ditafsirkan oleh baginda sebagai:

هِيَ مَا اَنَا عَلَيْهِ وَاَصْحَابِيْ

“Itulah (jalan) yang aku dan para sahabatku berada di atasnya (atau dimaksudkan juga: itulah jalanku dan jalan para sahabatku)”.[5]

مَنْ كَانَ عَلَى مِثْلِ مَا اَنَا عَلَيْهِ الْيَوْم وَاَصْحَابِيْ

“Sesiapa yang di atas contoh mengikut apa yang aku berada pada hari ini berserta para sahabatku”.[6]

Maka garisan yang digaris oleh Rasulullah itulah jalan yang dilalui oleh baginda dan para sahabat yang dinamakan sebagai “Manhaj Salaf”. Sesiapapun tidak akan keluar dari jalan tersebut kecuali orang-orang yang menentang Allah dan RasulNya. Allah berfirman:

وَمَنْ يُشَاقِقِ الرَّسُوْلَ مِنْ بَعْدِ مَاتَبَيَّنَ لَهُ الْهُدَى وَيَتَّبِعْ غَيْرَ سَبِيلِ الْمُؤْمِنِيْنَ نُوَلِّهِ مَا تَوَلَّ وَنُصْلِهِ جَهَنَّمَ وَشَآءَ تْ مِصِيْرًا.

“Dan barangsiapa yang menentang Rasul sesudah jelas kebenaran baginya dan mengikuti jalan yang bukan jalan orang-orang beriman, Kami biarkan dia berleluasa terhadap kesesatan yang telah dikuasainya itu dan Kami masukkan dia ke dalam Jahanam dan jahanam itu seburuk-buruk tempat kembali”.[7]

Pastinya jalan orang-orang yang beriman yang dimaksudkan oleh ayat di atas ini ialah jalan Rasulullah dan para sahabat serta orang-orang yang mengikut jalan mereka. Malah penjelasan ini dikuatkan lagi dengan sabda baginda:

تَرَكْتُ فِيْكُمْ اَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوْا مَا اِنْ تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا ، كِتَابَ اللهِ وَسُنَّتِيْ ، وَلَنْ يَتَفَرَّقَا حَتَّى يَرِدَا عَلَيَّ الْحَوْضِ.

“Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, selagi kamu berpegang dengan keduanya kamu tidak akan disesatkan iaitu Kitab Allah (al-Quran) dan sunnah RasulNya (hadis-hadis sahih) sampai keduanya datang kepadaku di Huudh”.[8]

Orang-orang yang mengikuti jalan atau berpegang teguh dengan apa yang telah ditinggalkan oleh Rasulullah, mereka tidak akan sesat ke jalan yang menuju neraka iaitu jalan-jalan yang melencung ke sebelah kanan atau kiri. Kerana di atas setiap jalan-jalan yang bukan jalannya Rasulullah dan para sahabat, terdapat syaitan yang mengajak ke neraka. Maka jalan yang selamat itu hanyalah satu iaitu jalan Rasulullah yang dinamakan sebagai manhaj Salaf as-Soleh.

Berkata Abu Hanifah rahimahullah:

عَلَيْكَ بِالأَثَارِ ، وَطَرِيْقَةِ السَّلَفِ ، وَاِيَّاكَ وَكَلُّ مَحْدَثَة ، فَاِنَّهَا بِدْعَةٌ.

“Hendaklah kamu berpegang dengan athar dan jalan salaf. Berjaga-jagalah kamu dari setiap yang diada-adakan kerana sesungguhnya ia adalah bid’ah”.[9]

Para Salaf as-Soleh yang terdiri dari para tabi’in, tabi’ut at-tabi’in serta para aimmatul huda (imam-imam salaf), semua mereka mengikut manhaj Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam dan jalan para sahabat. Mereka tidak merubah dan menggantinya dengan yang lain. Oleh kerana mereka mempertahankan manhaj ini, maka sunnah dan athar para sahabat masih terjaga sehingga sekarang. Sewajarnya kita mengikut jejak mereka untuk memelihara sunnah dari dicemari dan dicabuli oleh Ahli Bid’ah atau Ahli Ahwa.

Sesungguhnya jumhur Salaf as-Soleh membenci bid’ah, mereka lari dari semua pembuat bid’ah (Ahli Bid’ah) kerana semata-mata untuk memelihara yang asal iaitu berittiba’ kepada sunnah.
[10]



------------------------------------------------------------------------------




[1] . Lihat: العقيدة السلفية فى كلام رب البرية hlm. 25. Al-Jadi’.
[2] . H/R Bukhari dan Muslim.
[3] . Al-An’am. 153.
[4] . Lihat: Tafsir Mujahid. Hlm. 227.
[5] . Lihat: Mustadrak oleh Hakim. 1/128. Turmizi 5/26. No. 2641. Al-Ajiri dalam As-Syariah Hlm. 15-16. Disahihkan oleh Al-Bagawi dalam Syarah as-Sunnah. 1/213. Ibnul Jauzi dalam Talbisul Iblis. Hlm. 7. Ad-Dailamy dalam Al-Faidaus 3/439. No. 5347.
[6] . H/R Turmizi dalam Kitab Al-Iman. 2641. 5/25-26.
[7] . An-Nisa, 4:115.
[8] . H/R Malik dalam Muwata’. Hakim dalam Mustadrak. Dan
disahihkan oleh Al-Albani dalam Sahihul Jami’. No. 2937.
[9] . Lihat: السنن والمبتدعات hlm. 6. Muhammad Abdussalam.
[10] . Lihat: الامر بالاتباع والنهي عن الابتداع Hlm. 81. Jalalluddin as-Suyuti.
Tahqiq Masyhur Hasan Salman.

No comments: