Tuesday, April 1, 2008

09 - JALAN ATAU MANHAJ YANG DIBENARKAN OLEH SYARA

JALAN ATAU MANHAJ YANG DIBENARKAN OLEH SYARA

Sesungguhnya hanya ada satu jalan sahaja yang dibenarkan oleh syara iaitu jalan yang dimaksudkan berupa manhaj sebagaimana yang tertera dalam ayat yang lalu iaitu manhaj yang telah dilalui dan ditunjukkan oleh Rasulullah kepada para Salaf as-Soleh yang disebut di dalam ayat sebagai: (سبيل المؤمنين) “Jalan orang-orang yang beriman”.
[1]

Dengan jaminan Allah dan RasulNya, bahawa para salaf adalah manusia yang paling sempurna sehingga diredai, dicintai dan telah ditentukan sebagai penghuni syurga, mengapa kita tidak mahu mengikut manhaj mereka yang selamat yang disebut oleh Rasulullah sebagai manhaj Salaf as-Soleh?

Berittiba’ atau mengikut jalan-jalan selain jalannya orang beriman (selain manhaj para Salaf as-Soleh) maka semua jalan-jalan tersebut akan menjauhkannya manusia dari manhaj Rasulullah. Akibatnya ia akan mengikut jalan yang syubhat, hawa nafsu, perpecahan dan jalan-jalan yang di atasnya ada syaitan yang mengajak kepadanya. Sedangkan perbuatan seperti itu telah diharamkan oleh Allah. Allah Subhanahu wa-Ta’ala berfirman:

وَلاَ تَتَّبِعُوْا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَنْ سَبِيْلِهِ.

“Dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (syubhat) maka nescaya ia akan memecah-belahkan kamu dari jalan Allah”.[2]

Berhati-hatilah dari mengikut ucapan orang-orang yang tidak mengikut manhaj Salaf as-Soleh walaupun menggelar dirinya sebagai Ahli Sunnah wal-Jamaah kerana mereka gemar mengatakan dan beranggapan baiknya bid’ah (dianggap bid’ah hasanah) dalam agama atau membahagi-bahagikan bid’ah kepada beberapa bahagian. Mereka cuba mencantikkan bid’ah dengan hiasan kata-kata yang disusun indah dan mempersonakan. Mereka sebenar adalah musuh Allah, musuh nabi dan musuh orang-orang beriman. Allah berfirman:

وَكَذَلِكَ جَعَلْنَا لِكُلِّ نَبِيٍّ عَدُوًّا شَيَاطِيْنَ اْلاِنْسِ وَالْجِنِّ يُوْحَى بَعْضُهُمْ اِلَى بَعْضٍ زُخْرُفَ الْقَوْلِ غُرُوْرًا.

“Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap nabi itu musuh iaitu syaitan-syaitan (dari jenis) manusia dan jin, sebahagian mereka membisikkan kepada sebahagian yang lain perkataan-perkataan yang indah-indah untuk menipu”.[3]

Sesungguhnya mereka telah dimisalkan dengan firman Allah dan perkataan RasulNya:
[4]

كَمَثَلِ الْحِمَارِ يَحْمِلُ اَسْفَارَا بِئْسَ مَثَلُ الْقَوْمِ

“Seperti keldai yang membawa kitab-kitab yang tebal. Amatlah buruknya perumpamaan kaum tersebut”.[5]

------------------------------------------------------------------------------------------



[1] . Lihat: وَمَنْ يُشَاقِقِ الرَّسُوْلَ مِنْ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُ الْهُدَى وَيَتَّبِعْ غَيْرَ سَبِيْلِ الْمُؤْمِنِيْنَ An-
Nisa. 4:115.
[2] . Al-An’am, 6:153.
[3] . Al-An’am. 6:112.
[4] . Lihat: السنن والمبتدعات hlm. 7. Muhammad Abdussalam.
[5] . Al-Jumaah. 62:5.

No comments: