Tuesday, April 1, 2008

WARKAH USTAZ RASUL DAHRI


اِنَّ الْحَمْدَ للهِ ، نَحْمَدُهُ وَنَعُوْذُ بِاللهِ ، وَنَسْتَعِيْنُهُ ، وَنَسْتَغْفِرُهُ ، مِنْ شُرُوْرِ اَنْفُسِنَا ، وَسَيِّئَاتِ اَعْمَالِنَا ، مَنْ يَهْدِهِ اللهُ فَلاَ مُضِلَّ لَهُ ، وَمَنْ يُضْلِلْ فَلاَ هَادِيَ لَهُ ، وَاَشْهَدُ اَنْ لاَ اِلَهَ اِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ ، وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ . قَالَ اللهُ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى : يَا اَيُّهَا الَّذِيْنَ آمَنُوْا اتَّقُوْ اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تُمُوْتُنَّ اِلاَّ وَاَنْتُمْ مُّسْلِمُوْنَ يَااَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوْا رَبَّكُمُ الَّذِيْ خَلَقَكُمْ مِّنْ نَّفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَازَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَارِجَالاً كَثِيْرًاوَنِسَآءً ا وَاتَّقُوْا اللهَ الَّذِيْ تَسَآءَ لُوْنَ بِهِ وَاْلأَرْحَامَ اِنَّ اللهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيْبًا يَا اَيُّهَا الَّذِيْنَ آمَنُوَا اتَّقُوْا اللهَ وَقُوْلُوْا قَوْلاً سَدِيْدًا يُصْلِحْ لَكُمْ اَعْمَالَكُمْ وَيَغْفِرْلَكُمْ ذُنُوْبَكُمْ وَمَنْ يُطِعِ اللهَ وَرَسُوْلَهُ فَقَدْ فَازَ فَوْزًا عَظِيْمًا.


Mengapakah masyarakat Islam di seluruh dunia kini dihinggapi penyakit pada akidah, ibadah, akhlak serta berbagai-bagai penyakit lain, sama ada disegi sosial, siasah, budaya dan yang lainnya sehingga ada yang amat kronik? Masalah bid’ah, syirik, khurafat, tahayul dan pelbagai krisis keyakinan juga sudah berpanjangan sehingga tidak kurang seriusnya. Di samping itu mereka ditimpa penghinaan, penindasan, penderitaan dan kerosakan sosiobudaya yang memalukan. Ke mana dan di manakah para ulama sebagai golongan terhormat, bagaimana mereka berperanan menangani semua persoalan berat ini dan mengapa mereka tidak berfungsi? Siapakah yang harus dipertanggungjawabkan jika para ulama menjadi syaitan bisu dan tuli?

Memang tiada daya yang dapat memulihkan berbagai-bagai penyakit tersebut kecuali kuasa yang paling agung iaitu kuasa Allah sebagai Rabbul ‘Alamin kerana Dia Yang Mahapencipta, Mahapengatur dan Yang Mahaberkuasa. Namun Allah Azza wa-Jalla tidak akan menolong sesiapapun dari hambaNya jika hamba tersebut tidak menolongNya. Sebagaimana Allah berfirman:


اِنْ تَنْصُرُ اللهَ يَنْصُرُكُمْ وُيُثَبِّتْ اَقْدَامَكُمْ.

“Jika kamu menolong (agama) Allah, Allah akan menolong kamu dan meneguhkan kedudukanmu”.
[1]

Allah Subhanahu wa-Ta’ala tidak akan mungkir janji maka salah satu dari janji Allah untuk memberi pertolongan dan kemenangan kepada hambanya ialah apabila para hamba tersebut kembali kepada manhaj yang telah disediakan olehNya iaitu Manhaj Rabbani yang lebih dikenali sebagai Manhaj Salaf. Untuk kembali kepada manhaj Salaf as-Soleh, hendaklah terlebih dahulu ada golongan ulama yang benar-benar ikhlas untuk mentarbiyah dan mentasfiyah akidah, kemudian ibadah dan akhlak sebagaimana yang telah ditunjukajar, dicontohkan dan diwariskan kepada generasi sahabat oleh Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam. Oleh itu para ulama perlu memahami pengertian, definisi dan maksud sebenar “Manhaj Salaf as-Soleh” demi menyelamatkan akidah, ibadah dan akhlak umat Islam agar berbahagia di dunia dan di akhirat.

Tulisan ini diusahakan untuk mengajak para pencinta kebenaran meninggalkan semua penyimpangan agama untuk menuju ke jalan yang paling benar dan paling selamat iaitu kembali ke manhaj (mazhab) Salaf as-Soleh dengan pemahaman dan pengamalan yang sebenar.


RASUL BIN DAHRI


[1] . Muhammad. 47:7.