Tuesday, April 1, 2008

23 - PENGGUNAAN KALIMAH SALAF

PENGGUNAAN KALIMAH SALAF

Terdapat beratus-ratus kitab yang dihasilkan oleh para ulama Ahli Sunnah wal-Jamaah dalam berbagai-bagai bidang keilmuan. Di dalam kitab-kitab tersebut didapati amat banyak sebutan menggunakan istilah atau kalimah seperti: Salaf, Salaf as-Soleh, Generasi salaf atau Salaful Ummah. Sama ada di dalam kitab-kitab tafsir, syarah hadis, fikah (termasuk dalam fikah Hanafi, Maliki, Syafie dan hambali), malah paling banyak disebut sehingga beratus-ratus kali di dalam kitab-kitab akidah. Kenyataan ini tidak dapat dinafikan bagi sesiapa yang mampu mengkaji kalimah ini di kitab-kitab turath (kitab-kitab hasil tulisan para ulama terdahulu).

Malah para ulama terdahulu telah menggunakan kalimah salaf atau istilah ini untuk memerangi bid’ah, ahli bid’ah dan para aktivisnya. Ia diungkapkan dalam kata-kata yang masyhur:

وَكُلُّ خَيْرٍ فِى اتِّبَاعِ مَنْ سَلَفَ #

وُكُلُّ شَرٍّ فِى اتِّبَاعِ مَنْ خَلَفَ
“Dan setiap kebaikan adalah dalam mengikuti orang-orang salaf. Dan setiap kekejian adalah dalam bid’ahnya orang-orang khalaf (orang-orang setelah zaman salaf)”.

Imam al-Auza’i rahimahullah secara tegas memerintahkan kepada kita sekalian agar kembali kepada pegangan para Salaf as-Soleh. Beliau berkata:

عَلَيْكَ بِاَثَارِ مَنْ سَلَفَ وَاِنْ رَفَضَكَ النَّاسُ ، وَاِيَّاكَ وَاَرَاءَ الرِّجَالِ وَاِنْ زُخْرُفُوْهَا لَكَ بِاْلاَقْوَالِ.

“Hendaklah kamu berpegang dengan athar-athar orang-orang salaf walaupun semua manusia mengusir (menolak) kamu. Dan jauhilah oleh kamu pendapat-pendapat orang walaupun mereka menghiasinya dengan ucapan-ucapan (yang indah)”. [1]


اِصْبِرْ نَفْسَكَ عَلَى السُّنَّةِ ، وَقِفْ حَيْثُ وَقَفَ الْقَوْمِ ، وَقُلْ بِمَا قَالُوْا ، وَكُفَّ عَمَّا كَفُّوْا عَنْهُ ، وَاسْلُكْ سَبِيْلَ سَلَفِكَ الصَّالِحِ فَاِنَّهُ يَسَعُكَ مَا وَسِعَهُمْ.

“Bersabarlah kamu dalam mengikuti sunnah. Berhentilah dari (melakukan suatu perbuatan) sebagaimana kaum (Salaf as-Soleh) berhenti dari melakukannya. Berkatalah sesuai dengan apa yang mereka (para Salaf as-Soleh) katakan. Tahanlah dirimu daripadanya. Berjalanlah di atas jalan Salaf as-Soleh kerana sesungguhnya ia akan memberi kelapangan kepada kamu”.[2]


-----------------------------------------------------------------------------------


[1] . Lihat: ذم التأويل Tahqiq Badr al-Abdr. Hlm. 277. Hadis Sahih, Dikeluarkan oleh al-Khatib dalanm Syarah Ashabul Hadis hlm. 70. Al-Ajurr dalam Syariah 57. Dan Ibnu Abdil Barr dalam Jami’ul Bayanil Ilm wa-Fadhlihi. 2/114. Lihat: Syarah Lum’atul Iktiqad. Hlm. 42. Syeikh Uthaimin. Tahqiq Asyraf bin Abdul Maqsud.
[2]. Dikeluarkan: Al-Lalikaii, Baihaqi dan al-Ajuri dengan sanad sahih.

No comments: