Tuesday, April 1, 2008

25 - AHLI SUNNAH WAL-JAMAAH

AHLI SUNNAH WAL-JAMAAH

Pengistilahan atau laqab “Ahli Sunnah wal-Jamaah” bermula pada akhir zaman sahabat. Ada yang menyatakan ia bermula apabila timbulnya zaman fitnah terutama fitnah yang berlaku antara Ali dan Mu’awiyah radiallahu ‘anhuma. Dimana setelah munculnya golongan ahli bid’ah seperti Khawarij, Rafidhah[1] atau Syiah,[2] Jahmiyah,[3] Qadariyah dan sebagainya, yang mana mereka terkenal dengan bid’ah-bid’ahnya dan banyak perselisihannya dalam persoalan hadis dan makna-makna al-Quran. Untuk membezakan antara golongan yang sunnah dan bid’ah maka para ulama hadis menentukan siapa Ahli Sunnah dan siapa Ahli Bid’ah agar mudah dan hanya diambil sanad atau matan sesebuah hadis dari Ahli Sunnah wal-Jamaah sahaja.

Berkata Ibn Hazam rahimahullah:

“Ahli Sunnah yang kami nyatakan, mereka adalah Ahli Hak dan selain mereka adalah Ahli Bid’ah. (Ahli Hak) adalah para sahabat radiallahu ‘anhum serta sesiapa yang mengikut jalan mereka, terutamanya para tabi’in rahmatullah ‘alaihim. Kemudian Ashabul Hadis dan sesiapa yang mengikut mereka dari kalangan fukaha (Ahli Fikah) dari satu generasi ke satu generasi berikutnya sehinggalah ke hari ini. Begitu juga sesiapa yang mencontohi mereka dari kalangan orang-orang awam sama ada di timur atau di barat”.
[4]

Imam Ahmad rahimahullah berkata:

اَهْلُ السُّنَّةِ وَالْجَمَاعَةِ : مَنْ يَعْتَقِدُ مَذْهَب اَهْلَ الْحَدِيْثِ.

“Ahli Sunnah wal-Jamaah ialah: Sesiapa sahaja yang berpegang dengan mazhab Ahli Hadis”.[5]

Imam al-Bukhari rahimahullah mengkhususkan Ahli Sunnah Wal-Jamaah ialah Ahli Ilmu.
[6]

Berkata pula Imam Ahmad rahimahullah:

اِنْ لَمْ يَكُوْنُوْا اَهْل الْحَدِيْثِ فَلاَ اَدْرِيْ مَنْ هُمْ

“Jika sekiranya mereka (Ahli Sunnah wal-Jamaah) bukan kalangan Ahli Hadis, aku tidak tahu siapa mereka?”.

Ada yang menyatakan bahawa mula munculnya istilah Ahli Sunnah wal-Jamaah apabila lahir golongan ahli bid’ah. Dengan bersandar kepada hadis-hadis dan athar maka bermula seruan agar bersatu dalam satu jamaah dengan berpegang kepada sunnah, diperingat dari pertelingkahan dalam agama dan sama sekali tidak melakukan bid’ah dalam agama.[7] Seruan ini diperkuat dengan sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:

فَاِنَّهُ مِنْ فَارَقَ الْجَمَاعَةِ شِبْرًا فَمَاتَ اِلاَّ مَاتَ مِيْتَةً جَاهِلِيَّةً.

“Sesungguhnya sesiapa yang meninggalkan jamaah kadar sejengkal maka ia mati, tidaklah kematiannya itu kecuali ia mati secara jahiliyah”.[8]

Akhirnya julukan Ahli Sunnah wal-Jamaah diberikan kepada sesiapa sahaja yang kembali kepada al-Quran, Sunnah dan ijmak ulama yang dikenali kebenaran pegangan dan pendiriannya. Terutama mereka yang jelas berpegang dengan akidah yang dinukil dari para Salaf as-Soleh rahimahumullah yang diterima langsung dari Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam dan dari para sahabat radiallahu ‘anhum.
[9] Kerana kita diperintah untuk mencontohi athar mereka (para sahabat) dan berittiba’ kepada sunnah mereka.[10]
Namun gelaran ini diutamakan kepada sesiapa sahaja yang berpegang kepada manhaj Salaf as-Soleh secara umum, yang sentiasa menentang ahli bid’ah di manapun mereka berada, pada bila-bila masa dan ketika sehinggalah keakhir zaman.

------------------------------------------------------------------------------

[1]. Berkata Imam Syafie: Aku tidak pernah mendapati seseorangpun dari Ahli Bid’ah yang sangat pembohong di dalam pengakuannya dan dalam saksi palsunya selain dari Rafidhah. Lihat: Al-Ibanatul Kubra 2/545.
[2]. Adapun golongan Syiah dianggap ahli bid’ah kerana mereka ghulu (keterlaluan fanatiknya) kepada mereka yang dianggap imam oleh mereka. (1). Berkata Alqamah: Sesungguhnya Syiah ghulu terhadap Ali sebagaimana Nasrani ghulu terhadap Isa bin Maryam. Lihat: As-Sunnah 2/548. (2). Amir Asy-Sya’bi berkata: Aku tidak pernah mendapati suatu kaum yang sangat dungu (bebal) dari Syiah. Lihat: Minhajus Sunnah. 1/22. Ibn Taimiyah.
[3]. Qadhi Abi Yusuf berkata: Aku tidak sudi solat di belakang Jahmiyu, Rafidhi dan Qadari. Lihat: Syarah Usul Iktiqad Ahlu Sunnah 4/733. Al-Lalikaii. Berkata: Muhammad bin Yusuf al-Firaby: Aku tidak melihat Rafidhah dan Jahmiyah melainkan mereka adalah orang-orang zindiq. Lihat: Syarah Usul Iktiqad Ahlus Sunah. Al-Lalikaii.
[4] . Lihat: Al-Fasl. 2/113. Ibnu Hazam.
[5] . Lihat: Syarah Muslim. 13/66. An-Nawawi.
[6] . Ibid.
[7] . Lihat Ibn Taimiyah wa-Tasawuf. Hlm. 8. Dr. Mustafa Helmi.
Catakan 1982. Mesir.
[8] . H/R Bukhari 5/12. Kitab al-Fitan. No. 7054.
[9] . Lihat: الرد على من انكر الحرف والصوت hlm. 99. Abi Nasr.
[10] . Ibid.

No comments: