Tuesday, April 1, 2008

21 - MANHAJ SALAF

MANHAJ SALAF

Para salafi (salafiyun) adalah orang yang mengikut manhaj salaf (salafiyah) sebagimana yang telah dijelaskan. Manhaj salaf hanyalah berpandukan kepada al-Quran, al-Hadis (as-Sunnah), athar dan mengikut kesepakatan (ijmak) para ulama muktabar. Iaitu mengikut cara memahami perkara-perkara tersebut menurut sebagaimana pemahaman para sahabat dan mereka-mereka yang berpegang dengan manhaj para sahabat hinggalah ke Hari Kiamat. Ciri mereka yang jelas ialah mereka sentiasa mentaati Allah dan RasulNya dalam berittiba' kepada wahyu sebagaimana firman Allah:

وَاتَّبِعُوْا اَحْسَنَ مَا اُنْزِلَ اِلَيْكُمْ مِنْ رَّبِّكُمْ مِنْ قَبْلِ اَنْ يَاْتِيَكُمُ الْعَذَابُ بَغْتَةً وَاَنْتُمْ لاَتَشْعُرُوْنَ.

"Dan ikutilah sebaik-baik apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu sebelum datang azab kepadamu dengan tiba-tiba, sedang kamu tidak menyedarinya".[1]

Maksud (اَحْسَنَ مَا اُنْزِلَ): “Sebaik-baik apa yang telah diturunkan” ialah “al-Quran”. Al-Quran hanya dipenuhi oleh perkara-perkara yang terbaik.
[2] Wajib mengikut manhaj para sahabat lantaran mereka “mengikut sebaik-baik apa yang telah diturunkan” kepada mereka dan mereka adalah sebenar-benar Salaf as-Soleh, manusia yang paling baik, mulia dan sempurna kerana berittiba’ kepada al-Quran sebagaimana yang juga telah dijelaskan di surah Ali Imran 3:110.

Banyak dalil dan fatwa para ulama muktabar mewajibkan agar bermanhaj salaf kerana ia landasan (صراط) yang dilalui oleh para sahabat, tabi’in dan tabi’ut at-tabi’in. Firman Allah:

وَاَنَّ هَذَا صِرَاطِيْ مُسْتَقِيْمًا فَاتَّبِعُوْهُ وَلاَ تَتَّبِعُوْا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَنْ سَبِيْلِهِ ذَلِكُمْ وَصَّاكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُوْنَ.

"Bahawasanya ini adalah jalanKu yang lurus maka ikutilah dia, jangan kamu mengikuti jalan-jalan kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalanNya. Yang demikian itu diperintahkan Allah kepadamu agar kamu bertakwa". [3]

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam pernah menggariskan untuk menggambarkan dan memperjelas maksud firman Allah di atas:

عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ مَسْعُوْدٍ قَالَ: خَطَّ لَنَا رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمًا خَطًّا ثُمَّ قَالَ : هَذَا سَبِيْلُ اللهِ ، وَخَطَّ خُطُوْطًا عَنْ يَمِيْنِهِ وَعَنْ شِمَالِهِ ثُمَّ قَالَ : هَذِهِ سُبُلٌ مِنْهَا شَيْطَانٌ يَدْعُوْا اِلَيْهِ ، ثُمَّ تَلاَ : وَاَنَّ هَذَا صِرَاطِيْ مُسْتَقِيْمًا فَاتَّبِعُوْهُ وَلاَ تَتَّبِعُوْا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَنْ سَبِيْلِهِ ذَلِكُمْ وَصَّاكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُوْنَ.

"Pada suatu ketika Rasulullah menggariskan kepada kami suatu garisan lalu bersabda: Inilah jalan Allah, kemudian menggariskan beberapa garisan di sebelah kanannya dan di sebelah kirinya lalu bersabda: Inilah jalan-jalan yang pada setiap jalan ada syaitan yang menyeru kepada jalan tersebut. Kemudian membacakan ayat: Sesungguhnya inilah jalanKu yang lurus maka ikutilah jalan tersebut dan janganlah ikuti jalan-jalan kerana jalan-jalan tersebut mencerai-beraikan kamu dari jalanNya. Yang demikian itu diperintahkan oleh Allah kepadamu agar kamu bertakwa".[4]

Berkata Mujahid rahimahullah: Subul سبل “Jalan-Jalan” bermaksud: “Bid’ah-bid’ah dan Syubhat-syubahat”.
[5]

Para Salaf as-Soleh meyakini bahawa:

لَيْسَ لَهُمْ مَتْبُوْعٌ يَتَعَصَّبُوْنَ لَهُ اِلاَّ رَسُوْل اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

“Tidak ada bagi mereka ikutan (ittiba’) yang diikuti dengan sungguh-sungguh kecuali (berittiba’) kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam”.[6]

Segala hujjah dan definisi di atas ini menjelaskan bahawa tidak boleh ta’sub, taqlid dan berittiba’ (taat, ikut, patuh dan berpegang kuat) kecuali kepada wahyu yang telah disampaikan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam.

-----------------------------------------------------------------------------


[1] . Az-Zumar, 39:55.
[2]. Lihat: Tafsir al-Qurtubi,15/270. Tafsir at-Tabari, 13/23.
[3]. Al-An’am, 6:153.
[4]. H/R Ahmad "Musnad" 1/ 435. Al-Hakim "al-Mustadrak" 2/318. Ibn
Abi 'Asim (17) As-Sunnah" Hlm. 13.
[5] . Lihat: السنن والمبتدعات Hlm. 5. Muhammad Abdussalam.
[6] . Lihat: Majmu’ al-Fatawa. 3/347. Ibnu Taimiyah.

No comments: