Tuesday, April 1, 2008

19 - APA ITU SALAFIYAH?

APA ITU SALAFIYAH?


Pengertian salafiyah ialah: Manhaj (metodologi), mazhab atau jalan iaitu: “Manhaj yang diikuti atau dipegang oleh orang-orang salaf”. Atau “Metodologi pemahaman Salaf as-Soleh terhadap al-Quran dan as-Sunnah”.[1] Sama ada di segi akidah (keimanan), ibadah, fikah (pemahaman), tarbiyah (pendidikan), tasfiyah (pembersihan akidah dari kesyirikan dan ibadah dari bid’ah), akhlak, muamalah, siyasah (politik), hukum-ahkam dan sebagainya.

Salafiyah bukan hizbiyah (kelompok atau golongan yang menyimpang dari dasar al-Quran, as-Sunnah, athar dan ijmak ulama muktabar). Salafiyah adalah golongan yang mengharamkan orang-orang dari berpecah-belah. Hizbiyah pula adalah golongan yang diancam keras oleh Allah kerana mereka penyebab perpecahan dan fitnah. Allah Azza wa-Jalla berfirman:


كُلُّ حِزْبٍ بِمَا لَدَيْهِمْ فَرِحُوْنَ

“Tiap-tiap hizib (golongan) merasa bangga dengan apa yang ada pada golongan mereka”.[2]

Tambahan pula Islam hanya mengizinkan satu hizbiyah iaitu hizib yang berdasarkan kepada berbagai penamaan jamaah yang dinamakan oleh Rasulullah di dalam hadis-hadis baginda. Ia dikenal dengan nama As-Sawadul A’zam, Al-Guraba, Ahli Ittiba’, Firqatun-Najiyah atau At-Taifah Al-Mansurah. Penisbatan seseorang kepada nama-nama ini sama seperti penisbatan kepada Salaf as-Soleh. Kesemua nama-nama ini penentuannya datang dari Rasulullah yang bermakna satu hizbiyah tetapi berlainan nama kerana tidak ada berbilang hizbiyah di dalam Islam berdasarkan firman Allah:


اَلاَ اِنَّ حِزْبَ اللهِ هُمُ الْمُفْلِحُوْنَ

“Ketahuilah! bahawa sesungguhnya hizib (golongan) Allah itulah golongan yang beruntung”.[3]

Penisbatan kepada selain Salaf as-Soleh hanya ada dua kemungkinan iaitu nisbah kepada peribadi yang tidak maksum atau nisbah kepada kumpulan (firqah) yang membawa kepada salah satu daripada 72 firqah perpecahan. Ia digambarkan oleh hadis-hadis sahih bahawa kesemua firqah perpecahan tersebut akan ke neraka. Baginda bersabda:


وَالَّذِيْ نَفْسِ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ ، لَتَفْتَرِقَنَّ اُمَّتِيْ عَلَى ثَلاَثِ وَسَبْعِيْنَ فِرْقَةً وَاحِدَةٌ فِى الْجَنَّةِ ، وَثِنْتَانِ وَسَبْعُوْنَ فِى النَّارِ قِيْلَ : مَنْ هُمْ ؟ قَالَ : اَلْجَمَاعَةُ.

“Demi diri Muhammad yang berada di tanganNya, pasti akan berpecah umatku kepada 73 firqah hanya satu ke syurga dan 72 ke neraka! Baginda ditanya: Siapa mereka? Baginda bersabda: Al-Jamaah”.[4]

Al-Jamaah yang dimaksudkan oleh hadis ini adalah para Salaf as-Soleh dan mereka-mereka yang kembali mengikut manhaj para Salaf. Inilah maksud dan hakikat yang termuat di dalam sabda baginda:


مَا اَنَا عَلَيْهِ وَاَصْحَابِيْ

“Bermaksud: Yang (mengikut manhaj) aku dan para sahabatku (Atau sesiapa yang seperti aku dan para sahabatku)”.[5]

Kitab Allah Subhanahu wa-Ta’ala telah memberi peringatan agar menjauhi manhaj golongan orang-orang yang syirik, kufur, sesat, bid’ah, yang terdedah dengan syubhat, fasad dan kefasikan. Mereka itu adalah orang-orang yang telah terkeluar dari manhaj Salaf as-Soleh kerana melewati batas. Allah berfirman:


وَلاَ تُطِعْ مَنْ اَغْفَلْنَا قَلْبَهُ عَنْ ذِكْرِنَا وَاتَّبَعَ هَوَاهُ وَكَانَ اَمْرُهُ فَرُطًا.

“Dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami serta menurut hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melewati batas”.[6]


--------------------------------------------------------------



[1] . Lihat: Majalah as-Solah. No. 9. Hlm. 86. Penjelasan al-Albani.
[2] . Ar-Rum, 30:32.
[3] . Al-Mujadalah, 58:22.
[4] . H/R Ibn Majah 2/1322. Disahihkan oleh al-Haitami dalam Az-
Zawaid. Disahihkan juga oleh al-Iraqi dalam Talkhis al-Ihya.
[5] . Lihat: Tuhfatul Ahwazi. 7/399-340. Berkata Tirmizi: Hadis hasan
dan gharib.
[6] . Al-Kahfi. 18:28.

No comments: