Tuesday, April 1, 2008

11 - HIZBULLAH HANYA YANG MENGIKUT MANHAJ RASULULLAH

HIZBULLAH HANYA YANG MENGIKUT MANHAJ RASULULLAH

Di setiap Negara Islam, di setiap tempat yang terdapat orang-orang Islam, di kalangan masyarakat Islam dan di mana sahaja wujudnya orang-orang Islam maka di situ pasti wujud kelompok (hizibi) yang mengatas-namakan golongan (hizbi) mereka sebagai hizbi Islami (hizbullah) atau parti Allah. Allah Azza wa-Jalla telah menjelaskan tentang adanya kelompok (hizbi) yang dibungkus atau diselimut dengan nama Islam tetapi tidak mengikut manhaj Salaf as-Soleh. Allah berfirman:

كُلُّ حِزْبٍ بِمَا لَدَيْهِمْ فَرِحُوْنَ.

“Setiap kelompok (hizbi/parti) bangga dengan yang ada pada kelompoknya sendiri”.[1]

Oleh kerana dalam Islam hanya mengizinkan satu hizbi, maka hanya hizbi yang mengikut manhaj Salaf sahaja yang beruntung, selamat dan diredai oleh Allah. Orang-orang yang beruntung, diberi nikmat dan diredai Allah bermula dari kalangan para sahabat, kemudian dianugerahkan kepada sesiapa sahaja yang mengikut manhaj para sahabat.
[2] Allah benar-benar telah meredai manhaj mereka. Malah sesiapa yang mengikut manhaj yang selamat ini telah dijamin masuk syurga dan dijamin juga sebagai kelompok (hizbullah) yang beruntung sebagaimana firmanNya:

رَضِيَ اللهُ عَنْهُمْ وَرَضُوْا عَنْهُ اُوْلَئِكَ حِزْبُ اللهِ اَلآ اِنَّ حِزْبَ اللهِ هُمُ الْمُفْلِحُوْنَ

“Allah reda terhadap mereka dan mereka merasa puas terhadap (limpahan rahmat)Nya. Mereka itulah golongan (hizbi) Allah. Ketahuilah, bahawa sesungguhnya golongan (hizbi) Allah itu golongan (hizbi) yang beruntung!”.[3]

Ayat di atas ini menjelaskan bahawa Allah meredai golongan (hizbullah) iaitu para sahabat dengan limpahan rahmat dan nikmat, begitu juga sesiapa yang berittiba’ kepada mereka. Untuk mengenal siapakah yang berada bersama golongan Allah dan dianggap hizbullah (hizbi Allah), lihatlah manhajnya, jika terkeluar dari manhaj Salaf as-Soleh (manhaj para sahabat yang telah diredai oleh Allah) kemudian mengikuti manhaj-manhaj yang lain maka mereka itu adalah hizbu as-syaitan yang merugi di akhirat kelak.

Allah telah mengkhabarkan tentang penghinaan Allah kepada berbagi-bagai hizbi yang telah diperangkap oleh syaitan (ditalbis oleh syaitan), sehingga lupa pada Allah dan menghina Rasulullah dengan cara meninggalkan manhaj yang telah dibina oleh baginda (manhaj Salaf as-Soleh). Sedangkan manhaj yang lurus ini telah diperjuangkan, dipelihara dan diteruskan oleh para sahabat, tabi’in dan tabi’ut at-tabi’in setelah kewafatan baginda. Allah Azza wa-Jalla berfirman:

اِسْتَحْوَذَ عَلَيْهِمُ الشَّيْطَانُ فَاَنْسَاهُمْ ذِكرَ اللهِ اُوْلَئِكَ حِزْبُ الشَّيْطَانِ اَلآ اِنَّ حِزْبَ الشَّيْطَانِ هُمُ الْخَاسِرُوْنَ . اِنَّ الَّذِيْنَ يُحَآدُوْنَ اللهَ وَرَسُوْلَهُ اُوْلَئِكَ فِى اْلأَذَلِّيْنَ.

“Syaitan telah menguasai mereka lalu mejadikan mereka lupa mengingati Allah, mereka itulah golongan (hizbi) syaitan. Ketahuilah, bahawa sesungguhnya golongan (hizbi) syaitan itulah golongan yang merugi!. Sesungguhnya orang-orang yang menentang Allah dan RasulNya, mereka termasuk orang-orang yang sangat hina”.[4]

Syaitan sentiasa berusaha supaya manusia sentiasa terkeluar dari Manhaj Salaf as-Soleh, agar sentiasa berada dalam golongan Ahli Bid’ah dan sentiasa dalam keadaan sesat. Namun, Allah akan menyelamatkan sesiapa yang berada di atas Manhaj Salaf as-Soleh. Allah telah mengkhabarkan tentang hal ini:

قَالَ رَبِّ بِمَآ اَغْوَيْتَنِيْ لأُزَيِّنَنَّ لَهُمْ فِى اْلأَرْضِ وَلأُغْوِيَّنَّهُمْ اَجْمَعِيْنَ اِلاَّ عِبَادَكَ مِنْهُمُ الْمُخْلَصِيْنَ
“Iblis berkata: Ya Tuhanku, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan maksiat) di muka bumi dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya! Kecuali hamba-hamba Engkau yang mukhlis antara mereka”. [5]

--------------------------------------------------------------------


[1] . Al-Mukminun. 57:23.
[2]. Di surah al-Fatihah ayat 7 Allah berfirman: صراط الذين انعمت عليهم “Iaitu jalan orang-orang yang telah Engkau anugerahkan nikmat kepada mereka”. Dimaksudkan: Orang-orang ialah para sahabat dan sesiapa yang mengikuti manhaj mereka yang dinamakan “Manhaj Salaf”.
[3] . Al-Mujadalah. 58:22.
[4] . Al-Mujadalah. 58:19-20.
[5] . Al-Hijr. 15:39-40.

No comments: