Tuesday, April 1, 2008

10 - JALAN-JALAN YANG SYUBAHAT

JALAN-JALAN YANG SYUBAHAT

Orang-orang yang mengikuti jalan syubhat, mereka telah menyimpang dari jalan Allah. Tidak secara langsung telah meninggalkan jalan kebenaran atau hidayah yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah, malah telah terkeluar dari manhaj Salaf. Dan orang-orang yang menyimpang dari jalan Allah yang dikenali sebagai jalan (manhaj) Salaf maka orang seperti ini telah menentang baginda. Perbuatan seperti ini telah diberi peringatan oleh Allah Ta’ala:

وَمَنْ يُشَاقِقِ الرَّسُوْلَ مِنْ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُ الْهُدَى وَيَتَّبِعْ غَيْرَ سَبِيْلِ الْمُؤْمِنِيْنَ نُوَلِّهِ مَاتَوَلَّىوَنُصْلِهِ جَهَنَّمَ وَسَآءَ تْ مَصِيْرًا

“Dan orang-orang yang menentang Rasul sesudah jelas kebenaran baginya dan mengikuti jalan yang bukan jalan orang-orang mukmin, Kami biarkan ia leluasa terhadap kesesatan yang telah dikuasainya itu dan Kami masukkan ia ke dalam Jahanam dan Jahanam itu seburuk-buruk tempat kembali”.[1]

Menentang Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam ialah dengan mengikut jalan selain jalan (manhaj) orang-orang beriman. Ia termasuk amalan bid’ah dan perkara yang diada-adakan. Ia jalan yang tidak pernah diizinkan oleh Allah, RasulNya dan agamaNya. Dan ia tidak ada kenamengena dengan agama Allah.
[2]

Maksud: “Jalan orang-orang yang beriman” adalah jalan (manhaj) orang-orang yang utama, orang-orang yang digelar sebaik-baik ummah yang berada di kurun yang terbaik. Mereka itulah yang dikenali sebagai Salaf as-Soleh. Oleh itu diwajibkan mengikut manhaj Salaf (salafiyah) kerana mereka adalah manusia yang paling utama. Mereka bertemu dan bersahabat dengan Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam, hidup dizaman turunnya wahyu, mereka sangat memahami dan menjiwai wahyu, mereka manusia yang paling tahu dan berilmu tentang Islam sehingga keilmuan mereka mengatasi seluruh ilmu manusia. Mereka anak murid Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam dan mereka adalah manusia yang paling kukuh imannya sebagaimana dikhabarkan oleh Allah Subhanahu wa-Ta’ala:

آمَنَ الرَّسُوْلُ بِمَآ أُنْزِلَ اِلَيْهِ مِنْ رَبِّهِ وَالْمُؤْمِنُوْنَ.

“Rasul telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, demikian pula orang-orang yang beriman”.[3]

Dengan ini amat jelas bahawa salaf, salafi atau salafiyah ialah:

“(Setiap orang yang beriman, pent.) yang meniti di atas jalan (manhaj) generasi awal dan sesiapa yang mencontohi mereka dalam mendapatkan ilmu, cara memahaminya dan cara naluri dakwahnya kepada manhaj ini. Ia tidak terhenti pada batas tarikh tertentu, malah wajib difahami bahawasanya ia (kekal berjalan) berterusan (tanpa henti-henti) melalui dalil-dalil yang kekal disepanjang hayat”.
[4]

Berkata Imam al-Barbahari rahimahullah:

“Terkeluarnya seseorang dari manhaj Salaf as-Soleh pada mulanya bermain-main dengan bid’ah. Ingatlah, perbuatan bid’ah bermula dari bid’ah-bid’ah yang kecil, kemudian ia berterusan sehingga menjadi bid’ah yang besar! Begitulah setiap bid’ah yang telah berlaku dalam umat ini, pada mulanya ia diawali dengan yang kecil, ia kelihatan seperti kebenaran, maka dicantik-cantikkanya hal tersebut, yang terperangkap tidak berdaya keluar darinya sehingga dibesar-besarkannya. Akhirnya menjadi agama yang dianutinya”.
[5]


-----------------------------------------------------------------------------


[1] . An-Nisaa’, 4:115.
[2] . Lihat: السنن والمبتدعات Hlm. ب – ج Muhammad Abdulssalam.
[3] . Al-Baqarah, 2:285.
[4] . Lihat: الصفات الالهية Hlm. 64. Muhammad Aman al-Jami.
[5] . Ibid.

No comments: