Tuesday, April 1, 2008

14 - MAKSUD DAN MAKNA ITTIBA'

MAKSUD DAN MAKNA ITTIBA’


Adapun makna atau maksud ittiba’ ialah:


اَلاِتِّبَاعُ : اَنْ يَتَّبِعَ الرَّجُلُ مَا جَاءَ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَاَصْحَابِهِ ثُمَّ مِنْ بَعْدِ التَّابِعِيْنَ مُخَيَّرٌ.

“Ittiba’: Ialah apabila seseorang mengikuti apa yang datangnya dari Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam dan dari para sahabat baginda. Kemudian dari sesudah tabi’in adalah perkara yang pilihan”.[1]

Setiap orang yang beriman adalah wajib bermanhaj (berittiba’) atau mengikut jalannya para Salaf as-Soleh. Ia adalah manhaj al-Quran, di atas manhaj inilah Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam beramal yang diikuti oleh para sahabat dan semua para a’immah Salaf as-Soleh kemudiannya. Manhaj inilah menjadikan para sahabat golongan yang terpuji, paling sempurna dan terbaik.

Imam Al-Barbahari
[2] rahimahullah berkata:


لاَ تَتِمُّ السَّلاَمَة لِعَبْدٍ حَتَّى يَكُوْنَ مُتَّبِعًا وَمُصَدِّقًا وَمُسْلِمًا ، فَمَنْ زَعَمَ اَنَّهُ بَقِيَ شَيْء مِنْ اَمْرِ الاِسْلاَمِ لَمْ يُذَكِّرْنَاهُ اَصْحَاب رَسُوْل اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَدْ كَذَّبَهُمْ.

“Tidak akan selamat seseorang hamba sehinggalah dia berittiba’ kemudian percaya dan (menjadi) seorang muslim. Sesiapa yang menyangka bahawa sesungguhnya masih terbaki sesuatu dari urusan Islam yang tidak dijelaskan kepada kita oleh para sahabat Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam maka ia telah membohongi mereka”.[3]

Berittiba’ kepada Salaf as-Soleh adalah jalan yang boleh memudahkan seseorang untuk memahami Islam dengan sempurna. Ahli ilmu bersepakat bahawa asas segala kefaqihan dalam hukum ahkam, segala yang berkait dengan akidah, penyelesaian seluruh perkara (permasalahan agama) semuanya diambil dari pemahaman manhaj al-Kitab (al-Quran) dan as-Sunnah yang dikenali sekarang sebagai manhaj Salaf. Semuanya ini menjadi kenyataan berpunca dari berittiba’ (mentaati) firman Allah Azza wa-Jalla yang memerintahkan:
[4]

اِتَّبِعُوْا مَا اُنْزِلَ اِلَيْكُمْ مِنْ رَبِّكُمْ وَلاَ تَتَّبِعُوْا مِنْ دُوْنِهِ اَوْلِيَاءِ

“Ikutlah apa yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu dan janganlah kamu mengikuti pemimpin-pemimpin selainNya”.[5]

Segala perintah dan larangan wahyu telah diimplementasikan oleh para Salaf. Oleh itu mereka terpilih sebagai umat terbaik untuk dicontohi sebagaimana difirmankan oleh Allah Ta’ala:

كُنْتُمْ خَيْرَ اُمَّةٍ اُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَاْمُرُوْنَ بِالْمَعْرُوْفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُوْنَ بِاللهِ.
"Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh yang makruf dan menegah dari yang mungkar serta beriman kepada Allah".[6]

Maksud "Kamu adalah umat yang terbaik" ialah para salaf terutamanya para sahabat kerana mereka dijamin oleh al-Quran sebagai ummah yang sentiasa berpegang kepada manhaj al-Quran dan dijamin oleh Rasulullah kerana bersahabat dengan baginda. Mereka paling tahu dan mengerti tentang perkataan (sabda), perbuatan (amalan) taqrir (persetujuan) dan kehendak Rasulullah, sama ada yang wajib dilakukan atau yang wajib ditinggalkan, sama ada dari jenis ucapan atau amalan, yang zahir atau yang batin. Dan baginda bersabda:

لاَ تَزَالُوْنَ بِخَيْرٍ مَا دَامَ فِيْكُمْ مَنْ رَآنِيْ وَاصَاحَبَنِيْ ، واللهِ لاَ تَزَالُوْنَ بِخَيْرٍ مَا دَامَ فِيْكُمْ مَنْ رَآنِيْ ، مَنْ رَآنِيْ وَصَاحَبَنِيْ.

“Kamu akan sentiasa dalam kebaikan selama di kalangan kamu ada orang yang pernah melihat aku dan bersahabat denganku. Demi Allah kamu sentiasa dalam kebaikan selama di kalangan kamu ada orang yang melihat orang yang pernah melihat aku dan bersahabat denganku.[7]

Sekali lagi dijelaskan bahawa menurut hadis-hadis sahih, salaf yang paling mulia setelah para sahabat ialah para tabi’in, para tabi’ut at-tabi’in dan kemudian barulah orang-orang yang mengikut (berittiba’) dan berpegang kepada athar-athar mereka. Buktinya ialah sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:

اَنّا وَمَنْ مَعِيْ ، ثُمَّ الَّذِيْنَ عَلَى اْلاَثَرِ ، ثُمَّ الَّذِيْنَ عَلَى اْلاَثَرِ.

“Aku dan orang-orang yang bersamaku, kemudian orang-orang yang berdiri di atas athar, kemudian orang-orang yang berdiri di atas athar”.[8]

Seterusnya Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:

عَنِ بْنِ مَسْعُوْدٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : خَيْرُ النَّاسِ قَرْنِيْ ، ثُمَّ الَّذِيْنَ يَلُوْنَهُمْ ، ثُمَّ الَّذِيْنَ يَلُوْنَهُمْ.

"Dari Ibnu Masoud radiallahu ‘anhu berkata: Bersabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam: Sebaik-baik generasi ialah generasiku, kemudian orang-orang yang sesudahnya (tabi’in) dan kemudian orang-orang yang sesudahnya (tabi’ut at-tabi’in)".[9]

Menurut Ibnu Hajar rahimahullah: Perkataan salaf adalah orang-orang dari kalangan para sahabat serta orang-orang yang mengikuti mereka iaitu tabi’in.
[10] Dan para sahabat digelar sebagai sebaik-baik generasi kerana lahir dikurun mufadhalah (مُفَضَّلَةٌ) “Kurun Terbaik”.

Maka dengan penjelasan yang dipadatkan dengan hujjah ini, nyatalah bahawa sesiapa yang meragui manhaj Salaf as-Soleh, dia telah meragui manhaj rabbani. Sesiapa yang menentang manhaj Salaf maka dia telah menentang manhaj Rasullullah dan dia telah mengikut manhajnya orang-orang yang tidak beriman, sedangkan orang-orang yang paling beriman adalah para sahabat, tabi’in dan para tabi’ut at-tabi’in yang telah menyeru agar kita mengikuti manhajnya. Allah telah mengancam orang-orang yang menentang manhaj yang menjadi manhajnya Rasulullah kerana ia juga adalah menjadi manhaj atau jalannya orang-orang beriman سبيل المؤمنين. Allah berfirman:

وَمَنْ يُشَاقِقِ الرَّسُوْلَ مِنْ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُ الْهُدَى وَيَتَّبِعْ غَيْرَ سَبِيْلِ الْمُؤْمِنِيْنَ نُوَلِّهِ مَا تَوَلَّى وَنُصْلِهِ جَهَنَّمَ وَسَآءَ تْ مَصِيْرًا

“Dan sesiapa yang menentang Rasul sesudah jelas kebenaran baginya dan mengikuti jalan (manhaj) yang bukan jalan (manhaj) orang-orang beriman, Kami biarkan ia leluasa terhadap kesesatan yang telah dikuasainya itu dan Kami masukkan ia ke dalam Jahanam. Dan Jahanam itu seburuk-buruk tempat kembali”.[11]

Ayat ini dengan jelas menekankan bahawa orang-orang yang mengikut jalan yang bukan jalannya orang-orang beriman, maka dia dianggap sebagai menentang Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam.

Menurut Syeikh Nasruddin al-Albani rahimahullah apabila menjelaskan tentang salaf:

“Apabila kami menyebut lafaz salaf maka yang dimaksudkan ialah para sahabat Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam, kemudian para tabi’in (generasi kedua) dan kemudian para tabi’ut at-tabi’in. Orang-orang yang hidup pada tiga generasi itulah yang digelar sebagai salaf”.
[12]


--------------------------------------------------------------------


[1] . Diriwayatkan oleh Abu Daud dalam Masail Imam Ahmad, 2/149.
Lihat: Sifat Solat Nabi hlm. 35.
[2] . Nama Penuh beliau ialah: Al-Barbahari al-Hasan bin Ali bin Khalaf.
Wafat pada 329H.
[3] . Lihat: المنهج الأحْمد 2/27-28.
[4] . Lihat: الدعوة السلفية Hlm. 17. Al-Abbasi.
[5] . Al-A’raf. 7:3.
[6] . Ali-Imran, 3:110.
[7] . H/R Ibnu Abi Syaibah dengan sanadnya yang hasan. Lihat: Fathul
Bari. 7/5. Ibnu Hajar al-Asqalani.
[8] . H/R Imam Ahmad 2/297. Abu Nu’aim dalam al-Hilyah 2/78.
[9]. Mutaffaqun ‘alaihi. Bukhari No 2652. Muslim No 2533 (211).
[10]. Lihat: Fathul Bari, 6/51.
[11] . An-Nisaa’, 115.
[12] . Lihat: Al-Hawi 2/266.

No comments: