Tuesday, April 1, 2008

24 - MENGENALI MANHAJ SALAF


MENGENALI MANHAJ SALAF



Untuk mengenal manhaj Salaf as-Soleh secara mudah, ia dapat diringkaskan kepada beberapa bahagian:

Pertama: Manhaj Salaf dikenali juga sebagai manhaj Ahli Sunnah wal-Jamaah dan Salafiyah. Manhaj salaf hanya memberi penumpuan kepada al-Quran dan as-Sunnah kerana tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan oleh al-Kitab ini. Firman Allah:


مَا فَرَّطْنَا فِى الْكِتَابِ مِنْ شَيْءٍ

“Tidaklah Kami lupa (tertinggal) suatu apapun di dalam al-Kitab (al-Quran)”.[1]

Manhaj ini berbeza dengan aliran bid’ah seperti Tariqat Sufi, Mu’tazilah, Ahli Kalam, Asy’ariyah dan yang seumpamanya. Salafi dan salafiyah hanya mementingkan al-Quran, as-Sunnah serta athar para sahabat. Golongan bid’ah pula mencampur-adukkan al-Quran dan as-Sunnah melalui pertimbangan akal atau hawa nafsu. Jika terdapat dalil yang bertentangan dengan akal, mereka menolak dalil tersebut untuk mempertahankan akal. Mereka digelar ‘Aklaniyun “Penyembah Atau Pemuja Akal” , Ahlu al-Ahwa “Penyembah Atau Pemuja Hawa Nafsu dan Mubtadi’ “Ahli Bid’ah”.

Kedua: Manhaj Salaf as-Soleh hanya menggunakan istilah-istilah dari syara(اَلشَّرْعِيَّةُ) apabila menjelaskan persoalan akidah dan syariat sama ada untuk menerangkan atau membantah.

Ketiga: Manhaj Salaf tidak menggunakan pentakfiran (menghukum kafir), tabdi’ (menghukum bid’ah), tadhlil (menghukum sesat) dan tafsik (menghukum fasik) menangani persoalan akidah namun memberi ruang luas di segi fikhiyah.

Keempat: Membentangkan persoalan akidah dengan uslub (metode) dan bahasa yang mudah sehingga tidak ada perkara yang tersembunyi.

Kelima: Menyelesaikan setiap persoalan dengan contoh yang sederhana, kalimah yang ringkas dan mudah yang dirujukkan kepada al-Quran dan as-Sunnah.

Keenam: Mematuhi setiap nas al-Quran atau as-Sunnah, tidak keluar dari makna al-Quran melalui Bangsa Arab. Hanya Bangsa Arab yang benar-benar memahami bahasa mereka dan dalil-dalil qat’ie dari al-Quran dan hadis yang semuanya berbahasa Arab tulin. Oleh kerana kefasihan dan tidak terdapat kesalahan mereka berbahasa Arab maka tidak ditemui ilmu nahu, saraf, balagah dan ilmu-ilmu alat dimasa mereka.

Ibn Taimiyah menekankan kepada setiap orang yang beriman agar bermanhaj salaf dan mempertahankan manhaj Salaf. Beliau menjelaskan siapa sebenarnya Ahli Sunnah wal-Jamaah yang bermanhaj Salaf as-Soleh:


اَنَّ اَهْلَ السُّنَّةِ هُمُ الَّذِيْنَ الْمُتَمَسِّكُوْنَ بِكِتَابِ اللهِ وَسُنَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، وَمَا اتَّفَقَ عَلَيْهِ السَّابِقُوْنَ اْلاَوَّلُوْنَ مِنَ الْمُهَاجِرِيْنَ وَاْلاَنْصَارِ وَالَّذِيْنَ اتَّبَعُوْهُمْ بِاِحْسَانٍ

"Ahli Sunnah ialah mereka yang berpegang dengan kitab Allah dan Sunnah Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam dan apa yang disepakati oleh orang-orang pendahulu yang awal (salaf), terdiri dari kalangan Muhajirin dan Ansar dan juga orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik".[2]

Seterusnya beliau berkata:


فَمَنْ قَالَ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ وَاْلاِجْمَاعِ كَانَ مِنْ اَهْلِ السُّنَّةِ وَالْجَمَاعَةِ


"Maka sesiapa yang berkata-kata berdasarkan al-Kitab, as-Sunnah serta ijmak, ia adalah tergolong dalam golongan Ahli Sunnah wal-Jamaah".[3]

Telah berkata Ibnu Abbas sebagaimana yang diucapkan juga oleh Imam Malik dinukil dari Mujahid:


كُلُّ النَّاسِ يُؤْخَذُ مِنْهُ وَيُؤْخَذُ عَلَيْهِ اِلاَّ صَاحِبُ هَذَا الْقُبْرِ

“Setiap manusia boleh diambil perkataannya dan boleh ditolak kecuali penghuni kubur ini (seraya menunjukkan kubur Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam)”.[4]


------------------------------------------------------------



[1] . Al-An’am, 6:38.
[2]. Lihat: مجموعة الفتاوى 3/375. Ibn Taimiyah.
[3]. Ibid. Hlm. 346.
[4]. Dikeluarkan oleh Abu Daud dalam Masail Imam Ahmad hlm. 276. Disebut oleh Taqiyuddin as-Subky dalam Al-Fatawiy 1/148. Ibnu Abdil Baar. Lihat Jami’ul Bayanil Ilmu wa-Fadhlihi. 1/145

1 comment:

elisyahnur said...

assalamu alaikum,,,
syukron ats stiap pnjelasannya ttg manhaj salaf,,alhamdulillah uda byk tman ana yg ingn bljr ttg salaf.....
wa barokallahu fiikum